JOHOR BAHRU, 24 Dis (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah di sini kerana merajuk selamat pulang ke rumah petang tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan berkata laporan kehilangan dibuat bapa kanak-kanak itu yang berusia 47 tahun pada 10.46 pagi semalam.
“Kanak-kanak itu dipercayai meninggalkan rumah selepas merajuk dengan ibu bapanya kerana tidak dibenarkan bermain iPad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kanak-kanak itu dipercayai bersembunyi di sebuah rumah kosong berhampiran rumah keluarganya.
-- BERNAMA