DUNIA

Paus Leo Seru Gencatan Senjata Seluruh Dunia Sempena Krismas

24/12/2025 11:42 PM

ROM, 24 Dis (Bernama-dpa) -- Paus Leo XIV menggesa seluruh warga dunia yang cintakan keamanan agar melaksanakan gencatan senjata selama 24 jam melibatkan semua konflik bersenjata di seluruh dunia sempena sambutan Krismas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Semoga terdapat 24 jam keamanan di seluruh dunia,” katanya kepada wartawan lewat Selasa.

Leo, yang mula menjadi Paus pada Mei lalu, akan meraikan Mass Malam Krismas pertamanya pada lewat Rabu di Basilika St Peter, yang beliau dijangka menyuarakan bantahan terhadap peperangan dan keganasan serta mengingati penderitaan orang awam.

Pada Hari Krismas, Paus akan menyampaikan perutusan tradisi Krismas di Dataran St Peter.

Pemimpin kerohanian kepada kira-kira 1.4 bilion penganut Katolik itu akan menyampaikan berkat “Urbi et Orbi” (“Kepada Kota dan Dunia”), dengan puluhan ribu penganut dijangka hadir.

Dalam kenyataan awalnya pada Selasa malam, pontif itu berkata penolakan Rusia terhadap gencatan senjata singkat menimbulkan “kesedihan yang amat mendalam,” khususnya berikutan serangan berskala besar baru-baru ini terhadap Ukraine.

Beliau turut menyentuh situasi di Timur Tengah, sambil berkata yang beliau telah bercakap dengan paderi paroki di Bandar Gaza.

Katanya, penduduk di sana cuba menyambut Krismas walaupun berada dalam keadaan yang amat genting.

-- BERNAMA-dpa

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2506009