ANKARA, 24 Dis (Bernama-Anadolu) -- Datuk Bandar New York yang baharu, Zohran Mamdani berikrar akan terus memerangi Islamofobia dan rasisme terhadap rakyat Palestin apabila beliau memegang jawatan itu minggu depan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Sebagai Datuk Bandar … saya akan menjadikan tanggungjawab saya untuk menghargai, melindungi dan meraikan semua warga New York serta memerangi Islamofobia dan rasisme anti-Palestin,” katanya pada Selasa malam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perbualannya dengan seorang pelajar Palestin yang menghadapi gangguan dalam talian dan ancaman bunuh selepas penyebar teori konspirasi secara melulu menyalahkannya atas satu insiden tembakan maut.
Mamdani menerusi platform media sosial X berkata Mustapha Kharbouch, seorang pelajar di Universiti Brown, menjadi sasaran selepas sekeping fotonya yang memakai keffiyeh (penutup kepala tradisional Palestin) tersebar dalam talian, sekali gus mencetuskan apa yang disifatkannya sebagai Islamofobia dan rasisme anti-Palestin.
Menurut Mamdani latar belakang Palestin Kharbouch menjadi asas kepada tindakan mendedahkan maklumat peribadi serta ugutan yang diterimanya.
Dalam satu panggilan telefon, Kharbouch turut berkongsi dengan bakal Datuk Bandar itu mengenai minat akademiknya dalam hubungan antarabangsa dan antropologi, latihan industri musim panasnya di New York, serta rancangannya untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD.
“Saya memberitahu Mustapha bahawa kami amat mengalu-alukan kepulangannya ke New York City,” kata Mamdani, yang mencipta sejarah sebagai Datuk Bandar Muslim pertama bandar raya itu.
Mamdani dijadual mengangkat sumpah jawatan pada 1 Jan, Hari Tahun Baharu.
-- BERNAMA-ANADOLU