BEIJING, 24 Dis (Bernama-CMG) -- Pelabuhan Perdagangan Bebas (FTP) Hainan diyakini akan menjadi pintu utama bagi keterbukaan bertaraf tinggi China kepada dunia luar.
Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Luar (MFA) Lin Jian dalam sidang media pada Selasa, susulan operasi kastam khas seluruh pulau itu yang dilancarkan secara rasmi di FTP Hainan baru-baru ini.
Lin berkata biarpun berdepan ekonomi global yang semakin tidak menentu, China menunaikan komitmen untuk terus memperluas keterbukaan menerusi tindakan praktikal, berdiri teguh menentang fahaman perlindungan, di samping menyumbang kepada pembinaan ekonomi dunia yang terbuka.
Dari Januari hingga November 2025, sebanyak 60,000 syarikat baharu berasaskan pelaburan asing telah ditubuhkan di China, menokok 16.9 peratus dari tahun ke tahun.
Sementara itu, jumlah import dan eksport barangan menyaksikan peningkatan 3.6 peratus dengan mencatat lebih 41 trilion yuan (RM23.6 trilion).
Lin berkata daya tarikan pasaran China terus meningkat, sementara ketahanan dan kedinamikan perdagangan luar semakin terserlah susulan keterbukaan negara ini yang semakin luas dan mendalam.
Ia akan menjana lebih banyak peluang pembangunan dan menyuntik momentum baharu untuk kemakmuran bersama global, kata beliau.
– BERNAMA-CMG