DUNIA

China Serah Instrumen Ratifikasi Perjanjian Mengenai Biodiversiti Marin Kepada PBB

24/12/2025 02:26 PM

NEW YORK, 24 Dis (Bernama-CMG) -- China menyerahkan instrumen ratifikasi Perjanjian di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan Pemuliharaan dan Penggunaan Mampan Kepelbagaian Biologi Marin di Kawasan Luar Bidang Kuasa Negara (Perjanjian BBNJ) kepada Setiausaha Agung PBB pada 15 Dis. 

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu dokumen yang disiarkan di laman sesawang rasmi PBB pada Selasa.

Perjanjian BBNJ, yang dijadual berkuat kuasa mulai 17 Jan 2026, setakat ini telah ditandatangani oleh 144 negara serta Kesatuan Eropah (EU).

China menyertai keseluruhan proses rundingan perjanjian berkenaan dan merupakan antara negara terawal menandatangani Perjanjian BBNJ.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyambut baik perkembangan itu dan menyifatkannya sebagai satu pencapaian bersejarah dalam usaha pemuliharaan marin serta pengukuhan multilateralisme.

Perjanjian BBNJ merupakan perjanjian antarabangsa penting di bawah Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS), yang bertujuan memelihara serta memastikan penggunaan kepelbagaian biologi marin secara lestari.

Perjanjian itu memberi tumpuan kepada pengurusan sumber genetik laut dalam, penubuhan zon perlindungan marin, penilaian kesan alam sekitar serta pembinaan keupayaan, sekali gus menetapkan norma undang-undang bagi aktiviti semua negara di laut dalam dan laut lepas.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2505847