Daripada Hasnah Jusid
ACEH, 20 Dis (Bernama) -- Kelibat seorang wanita sedang menunaikan solat di pondok kecil, dengan ratusan ribu batang kayu yang dihanyutkan banjir ‘terhampar’ di bawah dangau itu, mencuri perhatian penulis sebaik memasuki Kampung Menang Gini, Karang Baru, di sini.
Pondok kecil yang hanya boleh memuatkan kira-kira dua orang itu mengundang rasa ingin tahu kepada penulis, yang berkesempatan mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke kampung yang terletak di Aceh Tamiang itu.
“Ini ibarat tsunami timbunan kayu. Tidak banyak rumah yang tinggal. Rumah saya sendiri pun hancur, hanya tinggal tapak,” kata Astuti Jone, 30, ketika disapa wartawan Bernama usai menunaikan solat.
Kampung berkenaan adalah antara ratusan kampung yang terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda tiga wilayah, iaitu Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara pada 26 Nov lepas.
Mengimbas kembali peristiwa pahit itu, Astuti berkata kesannya jauh lebih dahsyat, tidak ubah seperti tsunami, namun kali ini bukan ombak laut, sebaliknya ‘tsunami balak’ yang meranapkan hampir keseluruhan kampung.
Sepanjang minggu pertama selepas bencana, dia bersama suami dan anak terputus hubungan dengan dunia luar apabila lautan balak yang dihanyutkan arus banjir deras menutup laluan utama kampung.
Lebih menyedihkan, mereka sekeluarga terpaksa memerah air lumpur menggunakan kain untuk mendapatkan titisan air yang sedikit jernih sebagai minuman, selain terpaksa makan nasi mentah selama hampir empat hari sebelum bantuan tiba.
“Saya beritahu anak saya yang masih kecil bahawa itu air tebu, supaya dia mahu minum. Ada juga sebotol air bersih yang kami catu, minum seteguk demi seteguk,” katanya.
Tidak jauh dari situ, Dedek Anditia Untong, 37, pula kelihatan sibuk mencari sisa-sisa barangan yang masih tinggal di rumahnya yang musnah dihanyutkan banjir besar.
Dia kini membina sebuah kediaman sementara, seluas sebuah bilik kecil, menggunakan balak, dengan pintu rumah asal dijadikan pintu masuk, tidak berdinding dan hanya kain kanvas sebagai penutup.
Dedek berkata dia masih ingat detik cemas apabila terpaksa melarikan diri bersama keluarga ke Pondok Pesantren Islam Darul Mukhlisin yang terletak di kawasan lebih tinggi.
“Sebelum kejadian, hujan lebat berterusan selama lima hari. Pada 26 Nov kira-kira 3 pagi, air naik secara mendadak dan kami terus lari ke pesantren,” katanya.
Pondok pesantren berkenaan kini menjadi antara lokasi tular apabila dataran besarnya dipenuhi ratusan ribu batang balak yang hanyut.
Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali Arianti berkata dia pada awalnya menyangka banjir kali ini tidaklah seteruk kejadian pada 2006 dan tidak membuat persediaan secukupnya kerana menduga bencana itu tidak akan berpanjangan.
“Apabila pulang dari tempat perlindungan, saya dapati rumah jiran-jiran sudah tiada. Sampai di tapak rumah sendiri, saya hanya mampu mengucap.
“Ini bukan banjir biasa. Ia seperti tsunami, walaupun kawasan ini tiada laut berhampiran. Saya benar-benar bingung, tidak tahu bagaimana harus memulakan semula kehidupan,” katanya.
Mereka juga berdepan kebuluran di pusat perlindungan apabila bekalan makanan terputus, dengan nasi mentah dan pisang rebus menjadi antara ‘juadah’ bagi mereka mengalas perut sementara menunggu bantuan sampai.
Juriah Nasution, 30, dari Kampung Minuran, Bukit Rata berkata untuk menyelamatkan diri, dia terpaksa meletakkan anaknya yang berusia dua tahun pada tong drum sebelum bertindak meredah banjir yang mencecah paras lehernya.
“Kami lakukan apa saja cara untuk hidup,” katanya.
Setakat semalam, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) merekodkan jumlah korban akibat bencana banjir di Sumatera mencecah 1,059 orang, dengan kira-kira 200 masih dilaporkan hilang dan lebih 7,000 cedera.
Misi Kemanusiaan ke Sumatera anjuran MyCARE dan pasaraya Econsave bermula 18 hingga 23 Dis ini bagi membantu penduduk yang terjejas akibat bencana tersebut.
-- BERNAMA