KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang disyaki mencederakan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di sebuah rumah di Batu Muda di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata usaha mengesan remaja terbabit yang juga anak kepada pengasuh kanak-kanak berkenaan sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, kejadian terbabit disedari selepas ibu mangsa datang mengambil anaknya di rumah pengasuhnya kira-kira 4.30 petang sebelum mendapati mata kiri anaknya lebam.
Ibu bapa kanak-kanak terbabit kemudian membawa anak mereka ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Jinjang untuk tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA