JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah Syarikat Didakwa Pecah Amanah Wang Lebih RM200,000

11/07/2025 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat pengeluaran makanan dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah lebih RM200,000.

Tertuduh, Lee Poh Tiong, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril dan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Lee didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang milik syarikatnya berjumlah RM211,326.18 di premis syarikat tersebut yang terletak di Taman Maluri, Cheras, antara 18 Julai 2020 hingga 25 Mac 2023.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak dan Wafa Zainal Abidin tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Sharen Rosli memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal  keluarga serta tidak berisiko untuk melarikan diri.

“Kes ini telah disiasat sejak dua tahun lalu dan anak guam saya telah beberapa kali hadir ke balai polis untuk memberi keterangan. Beliau juga mempunyai perniagaan lain dan seluruh ahli keluarganya juga menetap di sini,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM24,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2444157