JENAYAH & MAHKAMAH

Hukuman Penjara Empat Tahun Warga Vietnam Simpan 54 Bahagian Harimau Kumbang Kekal

11/07/2025 04:35 PM

PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara empat tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen ke atas seorang lelaki warga Vietnam kerana menyimpan 54 bahagian harimau kumbang tanpa permit khas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hashim Hamzah, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang telah meringankan hukuman penjara Nguyen Van Tien kepada dua tahun.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Hashim berkata mahkamah memandang serius kesalahan membabitkan hidupan liar.

"Oleh itu, hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan dan hukuman penjara empat tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan, berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap,” katanya.

Walau bagaimanapun, denda RM300,000 atau penjara 12 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi kekal. 

Pada 24 Feb 2024, Nguyen, 34, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyimpan bahagian haiwan liar itu, yang merupakan spesies dilindungi, tanpa permit khas di Taman Negara Pahang pada kira-kira 12.30 tengah hari 12 Dis 2023. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad berhujah bahawa pengurangan hukuman akan menghantar mesej salah yang menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang terlalu berlembut terhadap pesalah asing dalam jenayah hidupan liar rentas sempadan. 

Beliau berkata perbuatan Nguyen bukan sahaja merosakkan alam sekitar tetapi juga menjejaskan kedaulatan undang-undang Malaysia, justeru itu mewajarkan pengenaan hukuman penjara yang tegas.

Nguyan, yang mewakili dirinya dengan bantuan jurubahasa, mendakwa dia datang ke Malaysia untuk mencari kerja dan telah bertemu beberapa rakan senegara yang memberikan daging harimau kumbang untuk dibawa pulang selain tidak mengetahui undang-undang negara ini.

Dia memohon maaf dan merayu supaya hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan kerana ingin pulang ke Vietnam.

Nguyen turut memaklumkan mahkamah bahawa dia memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa yang sudah tua dan beberapa anak yang masih kecil si Vietnam manakala isterinya pula tidak bekerja.

-- BERNAMA

 

 


 

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2444155