Oleh Nurul Hanis Izmir
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Malaysia mengekalkan pendekatan dasar luar yang seimbang dan berkecuali dalam menangani hubungan strategik dengan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China, sejajar dengan prinsip Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebagai sebuah negara dagangan, Malaysia tidak boleh dilihat cenderung ke arah mana-mana blok sebaliknya perlu mengekalkan kedudukan berkecuali demi kestabilan dan kepentingan negara.
“Kita amalkan keseimbangan dengan baik. Kita sebuah negara dagang dan ekonomi kita berasaskan perdagangan.
“Kita tidak boleh dilihat condong ke mana-mana pihak. AS adalah pelabur terbesar di negara kita manakala China pula merupakan rakan dagang terbesar Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini berakhir pada Jumaat.
Mohamad berkata dasar berkecuali adalah selari dengan komitmen Malaysia di bawah ZOPFAN dan ASEAN yang bertujuan mengekalkan rantau ini sebagai zon aman dan stabil.
“ZOPFAN ini sangat penting untuk Malaysia dan ASEAN. Kita berada dalam zon keamanan. Maka kita tidak boleh dilihat condong ke mana-mana pihak dan itulah pendekatan kita dalam menyeimbangkan hubungan dengan semua kuasa besar,” katanya.
Ketika ditanya mengenai hasil pertemuan ASEAN-AS pada Khamis, Mohamad menjelaskan bahawa tiada senarai permintaan khusus dikemukakan oleh mana-mana pihak sebaliknya perbincangan lebih tertumpu kepada isu-isu keselamatan serantau dan kerjasama jangka panjang.
“Dalam Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan AS, kita bincang isu Laut China Selatan dan bagaimana AS sebagai kuasa besar perlu memainkan peranan secara bijaksana di rantau ini,” katanya.
Menyentuh mengenai isu tarif yang dikenakan oleh AS ke atas beberapa negara ASEAN, Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan secara dua hala termasuk semasa pertemuan akan datang dengan rakan-rakan seperti United Kingdom dan AS.
“Kita tidak kemukakan senarai khusus dalam mesyuarat ASEAN tetapi dalam pertemuan dua hala nanti, kita akan bangkitkan isu berkenaan tarif serta hubungan perdagangan kita dengan AS,” katanya.
ZOPFAN merupakan Deklarasi Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali yang ditandatangani oleh Menteri Luar lima negara pengasas ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand pada 27 Nov 1971 di Kuala Lumpur.
Matlamatnya ialah memastikan Asia Tenggara kekal bebas daripada sebarang bentuk campur tangan oleh kuasa luar, suatu pendekatan strategi neutral yang sangat penting semasa era Perang Dingin.
Ia digambarkan sebagai doktrin berterusan yang amat relevan dalam konteks geopolitik semasa dan negara-negara ASEAN mengekalkan prinsip berkecuali sambil menggalakkan dialog dan penyertaan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan Rusia tanpa mengorbankan kedaulatan dan autonomi serantau.
AMM ke-58 selama empat hari diadakan di Kuala Lumpur, dengan tumpuan kepada pengukuhan kerjasama serantau serta menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi global secara bersama.
Mohamad juga berkata kejayaan penganjuran AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 membuktikan blok serantau itu terus dihormati selain mendapat kepercayaan kuasa-kuasa besar dunia.
-- BERNAMA