SUKAN

Kehadiran Pearly-Thinaah Penting Sebagai Idola Pemain Pelapis - Rosman

11/07/2025 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Keputusan beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah untuk terus mengekalkan komitmen bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 penting sebagai contoh teladan terbaik buat generasi pelapis.

Ketua jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak berkata disiplin, semangat juang dan dedikasi Pearly-Thinaah sama ada ketika latihan atau di gelanggang pertandingan mampu menjadi sumber inspirasi kepada pemain muda. 

“Pearly-Thinaah adalah contoh yang baik untuk pemain muda. Ini bukan hanya soal badminton, ia mengenai komitmen. Menjadi pemain terbaik bukanlah mudah, penting untuk memastikan pemain muda mempunyai idola dan hala tuju masa depan.

“Mereka melihat dan mencontohi (pemain senior) ketika berlatih serta bermain bersama. Saya percaya ia mampu membantu perkembangan pemain pelapis dalam semua aspek,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini. 

BAM semalam mengumumkan Pearly-Thinaah kekal bernaung di bawah badan induk itu selepas menandatangani kontrak baharu bersama sehingga temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Difahamkan, kontrak berkenaan telah ditandatangani pada 6.31 petang semalam, namun perincian kontrak berkenaan tidak didedahkan.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa pasangan itu masih belum memperbaharui kontrak bersama BAM selepas tamat tempoh pada Disember tahun lepas, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depan mereka bersama skuad kebangsaan.

Mereka dijadual beraksi di Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai, diikuti Terbuka China (22-27 Julai) sebelum Kejohanan Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2444124