AM

ASEAN, Turkiye Perlu Senada Perjuang Isu Gaza, Konflik Global - Mohamad Hasan

11/07/2025 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Sambil menyifatkan ASEAN dan Turkiye sebagai “rakan semula jadi” dalam memperjuangkan multilateralisme, keamanan, keadilan dan kemanusiaan, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan keperluan untuk kedua-duanya bersuara senada mengenai krisis antarabangsa yang mendesak, terutamanya situasi meruncing di Gaza.

“Sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang berprinsip dan bertanggungjawab, kita perlu menggabungkan suara kolektif kita dalam memperjuangkan penyelesaian aman dan adil bagi konflik di seluruh dunia, termasuk situasi genting di Gaza,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Turkiye dan Sekretariat ASEAN di sini, Jumaat.

Mesyuarat itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

ASEAN kini dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Mohamad berkata ASEAN dan Turkiye perlu mendesak supaya Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran berterusan undang-undang antarabangsa.

“Impuniti telah mendorong Israel menyerang negara lain, dan ia akan terus mengancam kestabilan rantau dan global sekiranya tidak dibendung,” katanya.

Mengenai hubungan tiga hala Malaysia, Turkiye dan ASEAN, Mohamad berkata sejak penubuhan Perkongsian Dialog Sektoral ASEAN-Turkiye pada 2017, hubungan itu berkembang secara konsisten berteraskan matlamat bersama untuk keamanan, ketahanan ekonomi dan keterhubungan rakyat dengan rakyat.

Beliau berkata Bidang Kerjasama Praktikal (PCA) 2024-2028 telah menyediakan kerangka panduan ke hadapan untuk memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang utama termasuk kerjasama politik dan keselamatan, perdagangan dan ekonomi digital, pendidikan, pengurusan bencana serta pembangunan mampan.

Dalam memperkukuh lagi perkongsian, Malaysia mengalu-alukan pengembangan kerjasama industri pertahanan dan pemindahan teknologi.

Mohamad berkata hubungan ekonomi dijangka terus berkembang menerusi kerjasama melalui Forum Perniagaan dan Pelaburan Turkiye-ASEAN serta sokongan kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta kerjasama inovasi.

“Pengalaman Turkiye dalam bidang pentadbiran elektronik boleh menjadi sumber kepakaran penting dalam memperkukuh integrasi digital, mempelbagaikan rantaian bekalan dan membina ketahanan bersama, sekali gus membantu kita menangani cabaran geo-ekonomi semasa,” katanya.

Dalam aspek sosiobudaya, beliau berkata inisiatif seperti Program Biasiswa Bersama Turkiye-ASEAN, latihan untuk diplomat ASEAN serta kerjasama yang dicadangkan dalam pendidikan teknikal dan vokasional serta pembangunan kemahiran digital akan mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat dan memupuk hubungan rentas budaya yang berpanjangan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2444052