AM

RM50 Juta Selenggara Rumah Ibadat Bukan Islam Tahun Ini - Nga

11/07/2025 08:00 PM

KOTA KINABALU, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi melaksanakan Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di seluruh negara tahun ini.

Peruntukan itu disalurkan menerusi Belanjawan 2025, khusus untuk tujuan penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam demi memberikan keselesaan kepada penganut menjalankan aktiviti keagamaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kementeriannya diberi mandat untuk melaksanakan inisiatif tersebut secara berperingkat di seluruh negara.

“Setakat Isnin lepas, sejumlah RM2.7 juta telah diluluskan kepada  15 buah RIBI di Sabah. Saya difahamkan masih terdapat beberapa permohonan lagi yang sedang diproses.

“Saya berharap akan lebih banyak permohonan akan diterima bagi memastikan bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya pada majlis penyerahan bantuan berkenaan kepada Basel Christian Church of Malaysia, Petagas, di sini hari ini.

Nga berkata pada tahun lepas, kementeriannya telah meluluskan sebanyak RM4.81 juta untuk 35 buah RIBI di seluruh negara melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf dan baik pulih.

Menurut beliau pelaksanaan inisiatif tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Kementerian akan terus melaksanakan program ini secara profesional , cekap dan telus supaya peruntukan diagihkan secara adil dan saksama kepada organisasi RIBI yang layak,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2444240