AM

Jadual Padat Pada Hari Terakhir AMM Ke-58

11/07/2025 08:33 AM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Jadual padat membabitkan pelbagai sesi libat urus peringkat tinggi bersama Rakan Dialog ASEAN, pihak berkepentingan dan rakan sejawat global menjadi tumpuan hari terakhir Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan pada Jumaat.

Antara kemuncak ialah Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Turkiye dan Sekretariat ASEAN yang bertujuan memperkukuh kerangka kerjasama sedia ada dan meneroka dimensi baharu dalam usaha memperluas perkongsian antara blok serantau dan Turkiye.

Turut berlangsung Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN, masing-masing bersama United Kingdom dan Kesatuan Eropah (EU).

Menteri-Menteri Luar turut dijadualkan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-15, Mesyuarat Menteri-Menteri Kerjasama Mekong-Republik Korea (ROK) ke-13, serta Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-32.

Selain itu, berlangsung Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV) yang menghimpunkan rakan serantau bagi menyokong usaha pembangunan Palestin.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual mengadakan sidang media usai siri mesyuarat berkenaan, yang dijangka menyampaikan mesej utama Malaysia serta rumusan daripada keseluruhan perbincangan.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, merangkumi 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk pertemuan dengan rakan dialog ASEAN dan rakan dialog sektoral.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443941