Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah and Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Bangladesh sedang berusaha memperdalam pelbagai bentuk kerjasama dengan ASEAN, dengan sasaran mempelbagaikan perdagangan dan meningkatkan pelaburan.
Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh Md Touhid Hossain berkata Dhaka menganggap ASEAN sebagai rakan ekonomi yang penting.
“Kami sudah mempunyai perdagangan yang ketara dengan ASEAN walaupun bukan ahli mahupun rakan kongsi. Terdapat juga beberapa pelaburan dari negara-negara ASEAN, namun saya percaya potensinya jauh lebih besar.
"Itulah antara bidang yang kami harap dapat dimanfaatkan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di sini.
Hossain menekankan kepentingan memperluas kerjasama dalam sektor lain seperti pendidikan, kebudayaan, dan hubungan antara rakyat, selain ekonomi dan tenaga kerja.
“Menerusi pertukaran budaya, kita boleh mengeratkan hubungan dan perkara ini boleh dilaksanakan secara dua hala,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
“Kami amat menghargai kepimpinan Malaysia kerana hubungan antara Bangladesh dan Malaysia sangat akrab dan mesra.
“Malah Ketua Penasihat Bangladesh Muhammad Yunus dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga menjalin hubungan peribadi yang akrab,” katanya.
Hossain turut mengulangi aspirasi Bangladesh untuk menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN sebagai sebahagian daripada inisiatif kerjasama serantau yang lebih luas.
Pada masa ini, Bangladesh menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), yang menyediakan mekanisme rasmi untuk negara itu berinteraksi dengan ASEAN secara lebih berkesan, sama ada melalui kerangka pelbagai hala atau dua hala.
Hubungan ekonomi antara ASEAN dan Bangladesh terus menunjukkan peningkatan, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah US$6.16 bilion bagi 2023–2024.
Sebagai ekonomi kedua terbesar di Asia Selatan, Bangladesh memainkan peranan penting di rantau Asia-Pasifik, menduduki tangga ke-35 dunia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal dan ke-25 berdasarkan pariti kuasa beli (PPP).
-- BERNAMA