AM

Turkiye Puji Kepimpinan Malaysia Isu Gaza, Seru Perpaduan Lebih Utuh

11/07/2025 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan memuji ketegasan Malaysia dalam memperjuangkan isu Gaza, khususnya sokongan vokal dan kepimpinan moral Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di pentas antarabangsa.

“Kami amat menghargai pendirian tegas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan Gaza, Masjid Al-Aqsa, hak rakyat Palestin yang tertindas, serta kebebasan wilayah Palestin yang diduduki.

“Inilah detik yang memerlukan kekuatan perpaduan kita semua,”katanya ketika tampil sebagai tetamu khas rakaman program semasa Bernama TV, The Nation: “Diplomatic Dispatch", bertajuk "Malaysia, Turkiye and the ASEAN Outlook” yang disiarkan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Fidan menyifatkan kekejaman berterusan di Gaza sebagai noda terhadap hati nurani masyarakat dunia.

Beliau menyuarakan kekesalan dan mengutuk kekejaman yang berterusan di Gaza, yang menurutnya mencerminkan ciri-ciri pembunuhan sistematik terhadap rakyat Palestin.

“Genosid yang berterusan di Gaza benar-benar menyakitkan hati kami.

“Ia merupakan kegagalan besar bagi kemanusiaan, dan lebih-lebih lagi bagi umat Islam. 

"Sebagai tunjang kekuatan Ummah, Malaysia, Turkiye dan negara-negara Islam lain berkongsi tanggungjawab dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan menyuarakan keprihatinan terhadap krisis di Gaza,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai risiko yang dihadapi oleh negara-negara kecil seperti Malaysia apabila mengambil pendirian tegas terhadap pihak yang melakukan kekejaman, Fidan mengakui wujudnya tekanan geopolitik.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa jarak Malaysia dari Timur Tengah tidak menjejaskan nilai moral dan kepentingan strategik pendiriannya.

“Selagi kita berada di pihak yang benar dalam sejarah, tidak penting siapa yang menentang atau apa yang diperkatakan. Kerana kita mempertahankan kebenaran,” katanya.

Fidan turut menyamakan penderitaan yang dialami lebih dua juta penduduk Gaza dengan keadaan di kem tahanan era Perang Dunia Kedua.

“Mereka sengaja dibiarkan kebuluran, terdedah kepada cuaca buruk dan pelbagai penderitaan lain. Kita tidak boleh biarkan ia berterusan,” tegasnya.

Hakan Fidan berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2444055