JENAYAH & MAHKAMAH

Peniaga Rugi Lebih Setengah Juta Diperdaya Sindiket Tawaran Kerja Tidak Wujud

10/07/2025 12:06 PM

KUALA TERENGGANU, 10 Julai (Bernama) -- Seorang peniaga lelaki kerugian RM500,639.50 selepas menjadi mangsa sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa berusia 38 tahun itu ditawarkan pekerjaan dengan komisen lumayan oleh seorang individu dikenali sebagai ‘Nabila Puteri’ menerusi laman sosial Facebook pada 14 Mei lepas.

Beliau berkata mangsa diminta memuat turun satu aplikasi melalui pautan yang diberikan suspek dan perlu membuat pembelian pelbagai barangan bagi memperoleh komisen tersebut.

"Pada peringkat awal, mangsa menerima komisen daripada beberapa tugasan yang diselesaikan dan berasa gembira.

"Tertarik dengan pulangan itu, mangsa kemudian membuat 38 lagi transaksi wang ke 22 akaun bank berbeza bagi pembelian seterusnya, namun tidak menerima sebarang komisen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang kehilangan semua wang simpanan hasil jualan buah-buahan, barangan runcit dan lembu, membuat laporan polis pada 2.49 petang semalam.

“Selain wang simpanan, mangsa juga menggunakan dana daripada pinjaman rakan dan kad kredit. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443429