EKONOMI

Sabah Catat Pelaburan Ketiga Tertinggi Di Malaysia Pada Suku Pertama

08/07/2025 03:59 PM

KOTA KINABALU, 8 Julai (Bernama) -- Sabah berjaya mencatatkan jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan sebanyak RM10.9 bilion pada suku pertama tahun ini, ketiga tertinggi di Malaysia selepas Selangor dan Kuala Lumpur, kata Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.

Beliau berkata sektor pembuatan muncul sebagai penyumbang tertinggi dalam pelaburan itu dengan nilai sebanyak RM7.3 bilion.

“Ini menjadikan pelaburan sektor pembuatan di Sabah pada suku pertama tahun ini sebagai tertinggi di Malaysia,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang ingin tahu mengenai langkah telah diambil untuk mengatasi masalah yang menghalang pelabur ke Sabah sejak 2020.

Phoong berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global, kementeriannya berusaha sedaya upaya untuk memastikan pelabur domestik dan asing terus yakin untuk melabur di Sabah.

Beliau berkata Pasukan Petugas Khas Pelaburan Pembuatan Negeri merupakan jawatankuasa yang akan membantu menyelesaikan pelbagai isu dan keperluan yang dihadapi oleh pelabur asing dan tempatan.

Katanya peruntukan turut diberikan untuk meningkatkan ketersediaan infrastruktur asas dan utiliti di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) serta Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.

Beliau berkata pembinaan pencawang pembahagi utama 33KV/11KV bagi SOGIP dengan peruntukan RM40 juta sedang giat dijalankan.

“Kerajaan melalui JETAMA Sdn Bhd melaksanakan inisiatif penyediaan air bersih khusus untuk kegunaan industri. Ia sedang giat dilaksanakan di POIC Lahad Datu melibatkan penggunaan teknologi kaedah penyahgaraman air laut untuk menghasilkan air bersih bagi kegunaan kilang atau industri,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442695