AM

Pesta Kuantan 188 Dijangka Tarik 60,000 Pengunjung

08/07/2025 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Pesta Kuantan 188 kembali dengan pelbagai pengisian menarik apabila berlangsung selama tiga hari bermula 25 Julai ini di mercu tanda ikonik, Menara Kuantan 188, bersempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Acara tahunan yang menjadi kebanggaan warga Pahang itu bakal menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan, sukan dan hiburan yang menyatukan rakyat jelata dengan institusi diraja dalam suasana penuh kemeriahan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Infiniti Indah Sdn. Bhd., Datuk Seri Omar Naresh Mohan berkata, pesta tersebut bukan sekadar sambutan tahunan, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan serta merayakan kepelbagaian budaya negeri ini.

“Ia bukan sekadar sambutan. Ini adalah wadah yang mengangkat semangat kebersamaan rakyat dan kerabat diraja melalui tradisi serta kebanggaan yang dikongsi bersama,” katanya pada sidang media  penganjuran Pesta Kuantan 188 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) Mohd. Amirul Rizal Abdul Rahim; Pengurus Kanan Kewangan dan Pembangunan Tourism Pahang Syazilawati Mohamed Hazri; wakil Petrosains Aizuddin Shahbudin dan wakil penaja utama acara.

Pesta berkenaan dijangka menarik lebih 60,000 pengunjung dan menjana impak ekonomi melebihi RM20 juta, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Kuantan sebagai hab pelancongan utama di Pantai Timur.

Antara acara yang bakal mencuri tumpuan termasuk K188 Towerthon pada 26 Julai, yang menyaksikan peserta menawan 524 anak tangga menara kedua tertinggi di negara ini.

Acara itu turut menampilkan jaguh menara negara, Soh Wai Ching, dengan kerjasama Persatuan Larian Menara Malaysia (MTA).

Turut berlangsung ialah Kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000 dan pertunjukan terjunan BASE serta aktiviti paramotor di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, yang menjanjikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung.

Selain itu, sebanyak 24 pasukan akan bersaing dalam perlumbaan Royal Pahang Dragon Boat Regatta di Sungai Kuantan pada 25 Julai dalam dua kategori utama.

Kemuncak hiburan pula diteruskan dengan konsert percuma pada malam 26 Julai yang menampilkan barisan artis ternama tanah air seperti Ella, Dayang Nurfaizah, Tomok dan Akim, diikuti persembahan 350 dron serta pertunjukan bunga api yang dijangka memukau pengunjung.

The Driverz Club Malaysia akan memberi pengalaman istimewa kepada 60 kanak-kanak dari rumah anak yatim Rapha Children’s Home Kuantan dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman Tanjung Lumpur, termasuk menaiki kereta mewah serta akses VIP ke aktiviti festival.

Dalam pada itu, Mohd Amirul Rizal berkata Pesta Kuantan 188 selari dengan usaha Tourism Malaysia mempergiatkan promosi acara komuniti yang berpotensi mengembangkan sektor pelancongan ke peringkat antarabangsa menjelang VM2026.

“Ini bukti bagaimana acara tempatan mampu menjadi tarikan global. Tourism Malaysia bangga menyokong inisiatif seperti ini,” katanya.

Penganjuran kali ini turut memperkenalkan kejohanan e-sukan K188 e-Battle Mobile Legends dengan tawaran hadiah keseluruhan RM20,000, selain pertandingan bakat K188 Challenge: Ada Bran? X THR Gegar, hasil kerjasama Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dan Maxis.

Sebagai penutup, satu majlis makan malam gala eksklusif akan berlangsung pada 27 Julai sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah pada 30 Julai dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 5 Ogos. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442863