GEORGE TOWN, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan perlu meneruskan libat urus dengan Amerika Syarikat (AS) bagi membincangkan kadar tarif lebih rendah susulan tindakan Washington mengenakan tarif balas 25 peratus ke atas eksport Malaysia.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata tarif terkini itu dijangka memberi impak ke atas ekonomi negeri itu yang berorientasikan eksport serta banyak terlibat dengan rantaian nilai global.
“Tambahan pula, perbezaan kadar tarif yang ketara di serata rantau ASEAN, boleh menjejaskan dinamik perdagangan selain mempengaruhi keputusan pelaburan masa depan di rantau itu.
“Sehubungan itu, wujud keperluan mendesak bagi kerajaan Malaysia untuk terus melakukan libat urus dengan AS bagi membincangkan kadar tarif lebih rendah,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program nota jangka sederhana Islam (IMTN) baharu bernilai RM5 bilion oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di sini, hari ini.
Chow berkata tumpuan juga perlu diberikan terhadap dasar bukan tarif dan halangan perdagangan bagi melindungi daya saing Malaysia.
Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, Pulau Pinang telah menyumbang 55 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS yang bernilai RM52 bilion dengan sebahagian besar eksport itu disumbangkan oleh syarikat multinasional Washington yang beroperasi di Pulau Pinang dan menghantar produk siap atau komponen kepada syarikat induk.
Daripada jumlah itu, mesin dan peralatan elektrik menyumbang sebanyak 77 peratus daripada eksport Pulau Pinang ke AS dengan sebahagian besar dipacu oleh industri semikonduktor.
Beliau berkata walaupun semikonduktor pada masa ini dikecualikan daripada tarif, kadar 25 peratus yang dikenakan secara meluas itu masih memberi risiko ekonomi.
“Susulan cabaran luaran ini, Pulau Pinang akan terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan pemain industri untuk melindungi kepentingan ekonomi negara.
“Negeri ini juga kekal komited terhadap usaha meningkatkan infrastruktur, memperkemas proses perniagaan dan menambah baik kos menjalankan perniagaan untuk kekal sebagai hab penting dalam rantaian nilai serta memastikan daya tahan ekonomi bagi jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA