JENAYAH & MAHKAMAH

Guru Tadika Rugi Lebih RM100,00 Ditipu Dua Sindiket

08/07/2025 11:55 AM

KUALA TERENGGANU, 8 Julai (Bernama) -- Seorang guru tadika wanita mengalami kerugian RM108,703 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja dalam talian dan ejen pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 20 Jun, mangsa yang berusia 32 tahun telah dihubungi suspek lelaki yang mendakwa wanita itu terpilih sebagai pelanggan bertuah dan memenangi hadiah barangan dapur.

Beliau berkata mangsa telah menerima barangan dapur bernilai sekitar RM50 seperti yang dijanjikan pada 28 Jun dan diminta memberikan nombor akaun untuk tujuan ganjaran sebanyak RM8.

“Mangsa juga ditawarkan kerja sambilan iaitu dengan hanya menekan pautan produk dan follow bagi mendapatkan ganjaran besar.

“Bagaimanapun suspek mendakwa kononnya mangsa terlewat menyelesaikan tugasan diberikan dan perlu membayar denda bagi mendapatkan semula ganjaran atau upah yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang terperdaya telah menggunakan semua wang simpanan dan hasil jualan barang kemas untuk membuat beberapa transaksi ke akaun berbeza dalam tempoh 1 hingga 3 Julai lepas, namun masih diarahkan membuat bayaran tambahan sebanyak RM75,000.

Beliau berkata mangsa yang terdesak, cuba membuat pinjaman segera melalui dua ejen pinjaman (Along) yang ditemukan di Internet dan telah membuat bayaran deposit kepada lima akaun bank berbeza, malangnya tiada pinjaman yang diterima.

“Ejen pinjaman wang tersebut mengarahkan supaya mangsa membuat sejumlah bayaran terlebih dahulu kononnya sebagai yuran dan wang proses. Namun setelah bayaran dibuat, mangsa tetap tidak memperoleh wang seperti dijanjikan.

“Mangsa yang menyedari ditipu oleh dua sindiket telah membuat laporan petang semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442535