GAYA HIDUP

Lagu Melayu Asli Bergema Di Pentas Orkestra DFP

08/07/2025 11:02 AM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Keindahan lagu Melayu asli sekali lagi bergema megah dan menggetarkan pentas penuh berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada malam Sabtu, yang tidak sekadar meninggalkan seribu satu kenangan indah bahkan memahat martabat seni warisan di persada penuh gemilang. 

Dengan iringan kekuatan muzik orkestra Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang diterajui konduktor berpengalaman Ahmad Muriz Che Rose, Konsert Simfoni Budaya II selama dua jam ini terasa bagaikan tidak mencukupi untuk mengembara sepenuhnya ke alam nostalgia warisan muzik Melayu asli. 

Membuka tirai hening dewan yang penuh berprestij itu dengan instrumental menggetar emosi menerusi alunan muzik orkestra Burung Pungguk sebagai pembuka kepada lebih 16 lagu untuk edisi kali kedua ini, nyata ia berjaya menyarat hati semua dengan pukauan penuh alur kekayaan irama warisan asli.

pic-2

Sementelah lagi, kemunculan penyanyi legenda lagu tradisional Melayu asli sejak 1970-an, Datuk Andre Goh mendendangkan lagu ciptaannya sendiri, Dikirim Jangan Dipesan Jangan yang dirakam pada 1973, menghangatkan lagi suasana dewan penuh berprestij itu. 

“Lagu ini saya tulis sendiri, ketika itu masih rakaman piring hitam lagi. Saya bersyukur dapat merasa semua ini. Tidak sangka hari ini saya akan menyanyikan lagu ini di pentas berprestij seperti ini.

pic-3

"Lagu Melayu asli ini lagu lama, saya harap anak muda hari ini khususnya anak Melayu jangan lupa lagu-lagu ini kerana ia adalah khazanah dan identiti kita. Saya tidak anti dengan lagu baharu tapi janganlah lupa lagu identiti kita," katanya yang turut menyanyikan lagu Mas Merah.

Kekayaan khazanah irama indah lagu Melayu asli ini diteruskan lagi dengan kemunculan Zehra Zambri yang buat pertama kalinya beraksi di pentas DFP menerusi lagu Suka Sama Suka dendangan bersama Goh, sebelum menyampaikan lagu Tudung Periuk serta Semalakama secara solo.

pic-4

Vokalnya yang lemak dan bertenaga menghidupkan lagi suasana dewan, malah mencuit hati apabila beliau mengusik Goh sehingga disambut sorakan dan tawa penonton: “Hanya suka sama suka dalam lagu ya Datuk.”

Emosi penonton terus dibuai lagi apabila Hazra Dollah mengambil tempat dengan mendendangkan lagu Anggerik Desa dan Simfoni Bunga Tanjung yang sekali gus menyerlahkan lagi kemampuan penyanyi wanita ini dalam menyanyikan lagu-lagu asli dengan sangat baik.

pic-5

Selain pentas berprestij ini juga menjadi medan menyaksikan penyanyi muda meningkat naik, Danial Chuer memukau penonton dengan mengalunkan lagu Nirmala dan Fatwa Pujangga dengan gaya tersendiri, menunjukkan sisi berbeza dirinya yang jarang sekali dipamerkan. 

“Saya tidak ada banyak peluang tunjuk sisi tradisional saya, jadi saya terus kata ya bila ditawarkan dalam .showcase. ini. Saya membesar dengan lagu-lagu sebegini dan menyanyi bersama orkestra adalah ‘bucket list’ saya,” katanya yang turut mendapat tepukan gemuruh.

pic-6

Antara momen manis malam itu ialah gandingan Hazra dan Rojer Kajol pada penghujung persembahan menerusi Joget Burung Merpati yang menjadi kemuncak konsert apabila hampir seluruh dewan bangun berjoget bersama, menjadikan ruang DFP yang biasanya formal bertukar menjadi pesta budaya yang meriah.

Persembahan pada malam itu ditutup dengan lagu Laksamana Raja Di Laut yang disampaikan oleh kelima-lima penyanyi, dan diakhiri dengan tepukan gemuruh serta ‘standing ovation’ daripada penonton yang hadir.

Konsert Simfoni Budaya II membuktikan warisan Melayu bukan sekadar kenangan lama, sebaliknya nadi yang terus hidup dan menyatukan generasi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442515