AM

Borneo.TV Platform Utama Untuk Anak-Anak Sabah Berkarya

07/07/2025 05:15 PM

KOTA KINABALU, 7 Julai (Bernama) --  Borneo.TV adalah platform utama untuk anak-anak Sabah berkarya sekali gus membantu mengetengahkan wajah, suara dan budaya negeri ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai berkata sehubungan itu peluang keemasan tersebut perlu diambil oleh anak-anak Sabah yang terlibat dalam industri kreatif.

"Ini juga akan membantu kerajaan negeri membangunkan modal insan berkualiti di bidang penyiaran digital dan penstriman, terutamanya dalam kalangan anak-anak tempatan.

"Dengan kewujudan Borneo.TV ini, manfaat besar tentulah kepada syarikat produksi anak-anak Sabah sendiri yang boleh menjadi penyedia kandungan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Pada 1 Julai lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah melancarkan Borneo.TV dengan slogan "Cerita Sabah di Mata Dunia".

Pada majlis sama, Sekretariat Sabah Maju Jaya dan IB Media Consultant Work Sdn Bhd, syarikat pengendali Borneo.TV, telah bertukar memorandum persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama bagi saluran itu.

Rosmadi berkata anak-anak Sabah khususnya pempengaruh, pemain industri dan penggiat seni menjadi keutamaan untuk bersama-sama Borneo.TV, sebagai platform penstriman baharu yang mengetengahkan wajah, suara dan budaya negeri ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa bersedia dan membuka pintu untuk bertemu dengan semua pempengaruh, pemain industri dan penggiat seni tempatan bagi membincangkan isu-isu berbangkit sekali gus menambah baik industri kreatif negeri.

"Dakwaan kononnya penggiat industri kreatif tempatan diabaikan atau dipinggirkan seharusnya tidak timbul kerana kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk mendengar pendapat dan pandangan semua pihak," katanya.

Borneo.TV bakal menjadi saluran utama menyampaikan kandungan sahih, dokumentari asli, seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah melalui pendekatan digital yang lebih moden, fleksibel dan global.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442310