GAYA HIDUP

Kisah Kejuaraan Piala Thomas 1992 Diangkat Ke Layar Perak

03/07/2025 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Selepas lebih tiga dekad sejarah membanggakan negara tercipta, detik gemilang skuad badminton lelaki negara menjuarai Piala Thomas 1992 akhirnya diangkat ke layar perak.

Pembikinan filem bertajuk Sentuhan Wira itu dilancarkan secara rasmi oleh penerbit Victory Pictures Sdn Bhd di sini semalam, serentak dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara pihak-pihak berkenaan yang disaksikan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia Datuk Gerald Hans Isaac.

Menerusi MoU tersebut, dua legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit yang juga tonggak skuad negara ketika itu, dilantik sebagai penasihat produksi selain terlibat secara langsung dalam pembangunan skrip bagi memastikan ketepatan fakta serta perjuangan sebenar disampaikan kepada penonton.

pic-2

Rashid berkata filem itu bukan sekadar tentang badminton tetapi sebuah naskhah sinematik yang menyentuh perjuangan, kepercayaan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.

Beliau turut menyifatkan penerbitan filem berkenaan sebagai platform penting untuk menceritakan pengalaman pemain terdahulu kepada generasi sekarang, selain menonjolkan semangat perpaduan yang wujud dalam pasukan negara ketika itu. 

“Kami mahu generasi sekarang ini dapat rasa pengalaman kami sebagai pemain dan melihat perpaduan serta semangat patriotik yang tinggi antara kami. Walaupun kami daripada kaum berbeza, masih tetap berjaya untuk satu tujuan," katanya kepada pemberita selepas MoU filem berkenaan.

pic-3

“Ya, kita dah lama, dah 33 tahun tak dapat (Piala Thomas). Jadi, dengan terbitnya filem ini, (diharap dapat) menaikkan semangat pemain-pemain yang sedia ada supaya mereka lebih bersemangat.

"Yang lebih penting ialah semangat patriotik itu, bukannya semangat individu... semangat patriotik untuk mengharumkan nama negara," katanya, menambah pada ketika itu mereka mengutamakan nama negara berbanding kepentingan peribadi.

Sementara itu, pengarah filem Sentuhan Wira, Lenny Ooi berkata beliau bakal menampilkan gaya pengarahan aksi dengan penggambaran menitikberatkan aspek realisme dalam babak latihan serta perlawanan.

pic-4

“Pelakon yang dipilih juga perlu pandai main badminton, kalau tidak akan nampak kaku,” katanya.

Beliau berkata filem itu akan memulakan penggambaran pada penghujung tahun ini dan dijangka menemui penonton awal 2027.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440886