KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Selepas lebih lima tahun menyepi daripada dunia kejurulatihan, legenda badminton negara Datuk Cheah Soon Kit bakal kembali bergiat sebagai jurulatih, namun kali ini bersama sebuah kelab di Eropah.
Bekas jurulatih beregu lelaki kebangsaan itu yang kali terakhir berkhidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2018, mengesahkan beliau akan berlepas minggu depan bagi menjalani tugasan kejurulatihan selama sebulan setengah.
“Saya belum pernah melatih di mana-mana sejak 2018.
“Kali ini pun hanya untuk jangka pendek, atas jemputan secara mesra. Bukan pasukan besar, hanya kelab badminton di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan pelancaran rasmi filem Sentuhan Wira, yang mengisahkan detik bersejarah kejayaan Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992.
Soon Kit, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996, berkata beliau bersetuju menerima tawaran itu selepas beberapa kali didekati pihak kelab terbabit.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai destinasi sebenar beliau, jurulatih berusia 57 tahun itu memilih untuk tidak mendedahkan lokasi negara berkenaan.
Filem Sentuhan Wira merupakan cetusan idea Soon Kit bersama seorang lagi legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek.
Sebagai penasihat produksi, kedua-dua mereka terbabit secara langsung dalam pembangunan skrip serta kajian teknikal perlawanan bagi memastikan semangat dan ketepatan sejarah kejayaan Piala Thomas 1992 disampaikan secara menyeluruh dan menyentuh emosi.
Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac.
-- BERNAMA