KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan sebahagian besar mahasiswa yang termasuk dalam kalangan lebih 23 juta isi rumah pengguna domestik tidak akan terkesan dengan sebarang kenaikan tarif susulan semakan tarif elektrik berkuat kuasa pada Selasa.
TNB dalam kenyataan memaklumkan ini bermakna bil elektrik bagi kebanyakan pelajar yang menyewa di kediaman biasa atau tinggal di kolej kediaman tidak akan mengalami sebarang kenaikan, tertakluk kepada corak penggunaan mereka.
"Di samping itu, pelaksanaan skim Masa Pengunaan (Time of Use-ToU) membolehkan pengguna termasuk mahasiswa menjimatkan bil elektrik dengan mengalihkan penggunaan ke luar waktu puncak.
"Sebagai contoh, penggunaan peralatan elektrik berat seperti mesin basuh, pendingin hawa atau komputer boleh dijadualkan pada waktu luar puncak untuk menikmati kadar tarif yang lebih rendah,” menurut kenyataan itu hari ini.
TNB memaklumkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institusi pendidikan lain juga ditawarkan rebat 10 peratus dengan rebat yang sama turut diberikan kepada rumah kebajikan dan rumah ibadat yang merupakan langkah langsung untuk membantu institusi pendidikan menguruskan kos operasi secara lebih cekap, sekali gus mengelakkan sebarang implikasi kos yang boleh membebankan pelajar.
Selain itu, TNB turut memperkenalkan Insentif Cekap Tenaga kepada pengguna domestik yang menggunakan kurang daripada 1,000 kilowatt-jam (kWj) sebulan sebagai galakan penjimatan tenaga dan pengurangan bil bulanan.
"Pada masa yang sama, Insentif Cekap Tenaga turut diberi kepada pengguna domestik yang mencatat penggunaan di bawah 1,000 kWj sebulan, menggalakkan amalan penjimatan tenaga dan mengurangkan bil bulanan mereka.
"Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos, tetapi turut menyokong matlamat tenaga mampan negara,” menurut kenyataan itu.
TNB memaklumkan Program Rebat Bil Elektrik RM40, iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 juga diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem eKasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) termasuk keluarga pelajar daripada golongan B40 yang mungkin turut menerima manfaat secara tidak langsung melalui bantuan ini.
"Langkah-langkah ini mencerminkan pendekatan menyeluruh dalam melindungi sektor pendidikan dan golongan yang memerlukan.
"Sebagai rakan pembangunan negara, TNB komited untuk memastikan kebajikan rakyat termasuk pelajar, terbela dan pada masa yang sama melaksanakan pembaharuan sistem tenaga secara mampan dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut tentang semakan tarif, insentif serta panduan penjimatan tenaga boleh melayari www.mytnb.com.my/tariff atau menghubungi TNB CareLine di 1-300-88-5454.
-- BERNAMA