KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh PBA Holdings Bhd (PBAHB), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mengemukakan dokumen yang diperlukan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi menerbitkan program nota jangka sederhana Islam (sukuk wakalah) bernilai sehingga RM5 bilion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PBAHB berkata penerbit akan menggunakan hasil daripada program sukuk wakalah itu untuk beberapa tujuan patuh syariah.
“Ini termasuk membiayai keperluan modal kerja, perbelanjaan modal, pelaburan, dan tujuan korporat am lain bagi penerbit dan kumpulan syarikatnya serta membiayai semula pembiayaan dan peminjaman patuh syariah sedia ada dan akan datang kumpulan PBAHB.
“Hasil itu juga akan digunakan untuk membayar fi, kos dan perbelanjaan berkaitan penerbitan program sukuk wakalah, dan bagi membiayai semula sukuk wakalah yang matang pada masa akan datang,” katanya.
-- BERNAMA