EKONOMI

Inisiatif ISIA 3.0 Bank Islam Sedia Pulangan Kompetitif, Pacu Impak Positif Alam Sekitar

01/07/2025 04:11 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd melancarkan Akaun Pelaburan Lestari Ihsan (ISIA) 3.0, versi ketiga tawaran pelaburan patuh Syariah perintisnya.

ISIA 3.0 yang diperkenalkan untuk menyediakan pulangan kompetitif, menyalurkan dana kepada impak alam sekitar dan sosial yang signifikan.

Ia merupakan bahagian utama daripada strategi kemampanan Bank Islam, menyumbang secara langsung kepada agenda pengantaraan berasaskan nilai (VBI) bank itu.

Akaun pelaburan itu yang distrukturkan di bawah Wakalah Bil Istithmar selaras dengan prinsip Syariah dan menyokong agenda kemampanan utama, termasuk Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG), Taksonomi Berasaskan Perubahan Iklim dan Prinsip (CCPT) Bank Negara Malaysia, dan kewangan sosial Islam melalui platform seperti Zakat dan Sadaqa House Bank Islam.

Sejak diperkenalkan, siri ISIA telah menarik minat kukuh daripada pelabur, mengumpulkan RM1.8 bilion melalui ISIA 1.0 dan 2.0, sekali gus mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian kewangan berdasarkan nilai-nilai Islam.

ISIA 3.0 adalah bahagian ketiga daripada inisiatif pelaburan utama ini dan kekal sebagai akaun pelaburan pertama Malaysia yang distrukturkan khusus untuk menyalurkan modal bagi pembiayaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan UN SDG selain menggalakkan kewangan sosial Islam.

Ketua pegawai perniagaan kumpulan Bank Islam bagi perbankan institusi Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir berkata ISIA 3.0 mengukuhkan komitmen bank itu terhadap VBI yang membolehkan penyertaan dalam projek membantu komuniti yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan, menyokong pembangunan rendah karbon dan menggalakkan rangkuman ekonomi.

“Melalui ISIA, pelabur memperoleh sokongan untuk memacu impak sebenar sambil memperoleh potensi pulangan setara dengan nilainya,” katanya kepada Bernama.

Langganan ISIA 3.0 dibuka dari 26 Jun hingga 28 Julai 2025, dengan tempoh pelaburan bermula pada 29 Julai 2025.

 

 

ISIA 3.0: Perkukuh Ketelusan dan Meluaskan Penyertaan

 

Beliau berkata kelebihan utama ISIA 3.0 adalah  pelaporan impak berstrukturnya, yang membantu pelabur melihat di mana dan bagaimana modal mereka disalurkan, memastikan pematuhannya terhadap Syariah dan juga hasil yang boleh dicapai. 

“ISIA bukan sekadar tentang pulangan -- ia adalah bagi memastikan modal membawa impak yang positif,” kata Sharifah Sarah.

Struktur dana itu yang berasaskan pembiayaan membolehkan Bank Islam meningkatkan usaha impaknya tanpa membebankan asas modalnya yang seterusnya membuka ruang untuk menyertai dalam pelaburan sejajar dengan ESG yang mempunyai nilai-nilai Islam dan kemampanan.  

 

Menyokong Peralihan ESG Merentas Industri

 

Beliau berkata ISIA amat sesuai untuk organisasi yang berdepan tekanan untuk menyelaraskan operasinya dengan piawaian ESG di tengah-tengah peningkatan jangkaan kawal selia dan pasaran serta pelabur yang memilih pelaburan jangka panjang dengan lebihan mudah tunai yang mencukupi, memandangkan pelaburan itu akan kekal sehingga matang dan pengeluaran awal tidak dibenarkan.

“Insentif itu disasarkan bagi keperluan menghijaukan operasi, bukan sahaja untuk syarikat besar tetapi juga pembekal peringkat pertengahan, yang kini bermotivasi untuk menghijaukan rantaian bekalan mereka.

“Melalui ISIA, kami bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan tetapi juga menggalakkan dan mempercepatkan peralihan mereka ke arah amalan yang lebih lestari,” katanya.

 

Prospek Masa Depan: Memperkukuh Kewangan Islam yang Mampan

 

Pada masa depan, Sharifah Sarah berkata Bank Islam menjangkakan sektor kewangan Islam akan berkembang melalui komitmen teguh terhadap kemampanan dan tumpuan yang lebih kukuh terhadap rangkuman kewangan.

"Institusi yang bertindak awal untuk menerapkan ESG dalam seluruh perniagaan mereka akan berada di kedudukan terbaik untuk meneraju dan merebut peluang yang muncul," katanya.

Sehingga Disember 2024, Bank Islam telah mencapai 93 peratus daripada sasaran kewangan mampan RM28 bilion yang disemak semula bagi tahun kewangan 2025, mencerminkan minat yang kukuh untuk menyokong ekonomi hijau Malaysia.

Bank itu menjangkakan momentum berterusan dalam bidang seperti sukuk hijau, pembiayaan berkaitan kemampanan, dan pelaburan merentas sektor utama termasuk tenaga boleh baharu, pertanian lestari, rumah mampu milik dan pengurusan sisa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440050