PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berkaitan penilaian cukai tambahan bagi tahun taksiran 2018 yang melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dalam satu kenyataan TNB melalui Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, yang sebelum ini membenarkan permohonan semakan kehakiman TNB untuk mengetepikan notis penilaian tambahan bagi tahun taksiran 2018 bertarikh 13 Julai 2020.
TNB menjelaskan bahawa notis penilaian tambahan yang dikeluarkan LHDN pada 13 Julai 2020 bagi tahun taksiran 2018, pada asalnya berjumlah RM1,812,506,384.64 bilion.
“Namun, selepas remisi penalti diberikan oleh LHDN melalui perintah persetujuan bertarikh 29 Dis 2020, jumlah bersih telah dikurangkan kepada RM1,250,004,403.20 bilion,” menurut TNB dan menambah bahawa kenyataan itu perlu dibaca bersama pengumuman terdahulu syarikat antara Julai 2020 hingga Jun 2025.
Menurut kenyataan itu, TNB memaklumkan bahawa mereka sedang menilai sepenuhnya kesan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.
TNB dalam kenyataan itu memaklumkan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa sebagai sebuah syarikat utiliti, Jadual yang terpakai ialah Jadual 7B Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP), iaitu elaun pelaburan, dan bukannya elaun pelaburan semula di bawah Jadual 7A.
“Sehubungan itu, selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, TNB akan mengambil langkah untuk menuntut elaun pelaburan di bawah Jadual 7B.
“Keputusan ini berpotensi memberi kesan kewangan negatif terhadap pendapatan dan aset bersih syarikat dan Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025. Namun begitu, keputusan ini dijangka tidak akan memberi sebarang kesan kepada operasi syarikat dan Kumpulan,” menurut kenyataan TNB.
-- BERNAMA