SUKAN

TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2025 Catat Peningkatan Jumlah Pasukan

03/07/2025 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Sebanyak 63 pasukan mengesahkan penyertaan pada Kejohanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2025 yang akan berlangsung dari 7 Julai hingga 23 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata penyertaan kali ini mencatat peningkatan tertinggi berbanding 49 pasukan pada edisi lepas, berikutan timbul minat terhadap sukan itu selain didorong program pembangunan di peringkat negeri.

“Ya, peningkatan ini ada beberapa sebab. Pertama, mungkin minat itu sudah semakin timbul daripada ibu bapa, dan kedua mungkin sekarang ini pemain muda dan pasukan daripada negeri-negeri mahu menunjukkan pemain baharu dan bakat mereka. Ia juga kerana perkembangan program pembangunan di negeri-negeri.

“Jadi, itu yang kita nampak. Jumlah penyertaan meningkat daripada 49 kepada 63 pasukan dan ia bagus untuk hoki kita, sekurang-kurangnya boleh lihat pemain-pemain baharu beraksi,” katanya pada sidang media kejohanan itu di KHM di sini hari ini.

Sebanyak 213 perlawanan bakal berlangsung sepanjang kejohanan berkenaan.

Bagi Divisyen 1, sebanyak 10 pasukan lelaki bakal berentap memburu kejuaraan yang akan berlangsung di tujuh lokasi perlawanan, antaranya Stadium Hoki Batu Buruk di Terengganu dan Stadium Hoki Wisma Belia di Kuantan bermula 19 Julai ini.

Sebanyak 30 pasukan lelaki Divisyen 2 yang dibahagikan kepada dua Zon iaitu Zon Tengah akan beraksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan Zon Utara di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang bermula 23 Julai.

Sementara itu, kategori perempuan melibatkan persaingan 23 pasukan dan semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bermula Isnin depan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440865