SUKAN

Kerjasama Erat KBS-kerajaan Kelantan Pacu Persiapan SUKMA 2028 - Hannah Yeoh

03/07/2025 04:01 PM

KOTA BHARU, 3 Julai (Bernama) -- Persiapan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang akan berlangsung di Kelantan berjalan lancar dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata mesyuarat bersama Ketua Setiausaha KBS dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan telah diadakan dan kerjasama antara kedua-dua pihak kini berjalan dengan baik.

“Prestasi semua stadium dan kemudahan yang sedang dibangunkan juga berjalan mengikut jadual. Jadi, saya tidak melihat apa-apa masalah kerana kerjasama erat antara kerajaan negeri dan KBS,” katanya selepas merasmikan pertandingan Cabaran Robot Belia ASEAN 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata Kompleks Sukan Bukit Merbau dijangka siap sepenuhnya pada September 2027 dan ketika ini projek berkenaan telah mencapai 17.84 peratus kemajuan pembinaan mengikut garis semasa projek.

Media sebelum ini melaporkan pembinaan kompleks sukan yang menelan belanja RM180 juta itu adalah usaha kecil Kerajaan MADANI untuk membolehkan rakyat Kelantan menikmati kemudahan sukan yang baik ke arah menghasilkan lebih ramai bakat baharu bagi mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Sementara itu, Hannah turut memaklumkan mengenai keperluan menaik taraf Kolam Renang Sultan Yahya Petra yang juga antara kolam renang tertua di Kelantan sejak tahun 1972.

“Kita telah melihat memang ada keperluan untuk menaik taraf dan memperbaiki kolam renang sedia ada bagi memastikan ia selamat digunakan, khususnya untuk anak-anak kecil. 

“Kemudahan ini milik Kementerian Pendidikan tetapi KBS akan cuba membantu kerana kita menganjurkan kelas renang percuma kepada kanak-kanak B40 di sana (Kelantan),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440879