EKONOMI

Strategi Kepelbagaian Pastikan Ekonomi Malaysia Terus Berdaya Tahan Depani Risiko Global

02/07/2025 10:27 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Meskipun ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang mencetuskan kebimbangan potensi penutupan Selat Hormuz serta gangguan bekalan tenaga global, ekonomi Malaysia kekal berada di landasan kukuh hasil strategi kerajaan yang inklusif dan bersifat jangka panjang.

Pengarah Bahagian Hubungan Perdagangan dan Ekonomi Dua Hala, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Raveendran Nair berkata pendekatan Malaysia yang sentiasa mempelbagaikan pasaran baharu membolehkan negara kekal berdaya saing dan berupaya menyerap tekanan luaran.

“Saya boleh katakan bahawa kita memang (sentiasa) bersedia. Untuk berlaku adil, kita sudah melalui pelbagai cabaran besar sebelum ini sejak zaman Krisis Kewangan Asia, kemudian Krisis Kewangan Amerika Syarikat (AS) dan seterusnya pandemik COVID-19.

“Sewaktu COVID-19, kita berdepan situasi yang luar biasa dan tidak pernah dialami sebelum ini. Namun, kita tetap berjaya bangkit semula ke arah trend pemulihan yang progresif dalam era pasca pandemik ini,” katanya pada forum Bicara Persada - Perang Iran-Israel: Implikasi Ke Atas Malaysia Dan Orde Baharu Dunia, yang diadakan di sini.

Raveendran berkata cabaran semasa seperti tarif yang dikenakan oleh AS bukanlah halangan besar kepada ekonomi negara kerana kesan tersebut turut dirasai oleh negara-negara lain.

“Memang ada kebimbangan bahawa tarif ini boleh mengecilkan ekonomi kita. Tetapi jika dilihat dari sudut lebih luas, bukan Malaysia sahaja yang terkesan.

“Berbanding negara jiran lain di rantau ini, ada yang dikenakan tarif lebih tinggi, mencecah 30 hingga 40 peratus. Jadi, dari segi daya saing, Malaysia masih mempunyai kelebihan. Di Asia Tenggara, contohnya Singapura dikenakan tarif sebanyak 10 peratus, manakala Malaysia pada kadar 24 peratus,” katanya.

Raveendran berkata perdagangan Malaysia dengan AS merangkumi kira-kira 13 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara manakala selebihnya daripada pasaran global yang pelbagai.

“Strategi kita adalah tidak bergantung kepada satu negara semata-mata. Sebab itu kita terus mempelbagaikan pasaran. Kalau dilihat kebelakangan ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sering ke luar negara bersama MITI untuk menjalankan program perniagaan, berjumpa ketua industri tempatan dan mengenal pasti pelabur yang berpotensi untuk dibawa ke Malaysia.

“Strategi ini memastikan kita tidak bergantung kepada satu negara sahaja. Jika ekonomi satu negara merosot, kita masih ada alternatif lain,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha memperkukuh keterhubungan perdagangan, Malaysia juga giat memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang membuka lebih banyak ruang kepada eksport negara.

“Contohnya, baru-baru ini kita menandatangani perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) (MEEPA) yang melibatkan empat negara (Iceland, Liechtenstein, Norway, Switzerland).

“Kita juga telah memulakan semula rundingan FTA dengan Kesatuan Eropah dan negara-negara Teluk. Secara keseluruhan, kita kini mempunyai 18 FTA dengan pelbagai negara,” katanya.

Mengulas mengenai ketegangan di Selat Hormuz, Raveendran berkata walaupun situasi itu berpotensi memberi kesan terhadap rantaian bekalan tenaga dunia, Malaysia kekal fokus kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonominya melalui jaringan perdagangan yang pelbagai dan persediaan dalaman yang kukuh.

Beliau berkata tiada negara mampu bertahan secara bersendirian tanpa jaringan bekalan yang stabil dalam landskap ekonomi global yang saling bergantung.

Isu Selat Hormuz mencuri tumpuan susulan ketegangan konflik Iran-Israel yang turut menyebabkan harga minyak meningkat melepasi US$89 setong, melonjak lebih 25 peratus sejak April lalu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440319