JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Rampas Senjata Tiruan, Tahan Tiga Warga Asing

30/06/2025 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Polis merampas ratusan senjata api tiruan termasuk pistol Walther P99, raifal M4 Carbine dan Colt AR-15 dalam serbuan di sebuah rumah teres di Segambut di sini, petang tadi.

Timbalan Pengarah Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman SAC Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata dalam operasi itu, polis turut menahan tiga warga asing termasuk seorang wanita berusia antara 35 hingga 45 tahun disyaki sebagai penjaga premis.

“Turut dirampas, senjata api tiruan menyerupai raifal Heckler dan Koch MP5, pistol jenis CZ, Glock 17, Sand Viper dan Browning," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Beliau berkata selain itu, polis merampas busur silang menggunakan bebola besi dan pistol lembing yang jika disalah guna boleh mengakibatkan kecederaan.

Zairulnizam berkata pihaknya turut melancarkan serbuan sama di beberapa lokasi di Selangor dan Johor dan akan mengeluarkan kenyataan media mengenai jumlah keseluruhan rampasan dan nilai, dalam masa terdekat.

Beliau berkata senjata tiruan terbabit disimpan di premis berkenaan untuk proses pembungkusan semula sebelum dipercayai dijual secara terbuka melalui platform media sosial dan pihak polis sedang menyiasat harga pasaran.

Polis, katanya akan mempergiat serbuan kerana senjata tiruan itu berpotensi disalah guna bagi tujuan jenayah dan mengesahkan terdapat beberapa kes jenayah sebelum ini melibatkan penggunaan senjata api tiruan seumpama itu.

Zairulnizam berkata kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana  mengimport atau memiliki senjata tiruan, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39(b) akta yang sama.

Beliau berkata melalui serbuan yang dijalankan pada hari ini, pihaknya berjaya memperoleh senarai nama dan alamat individu yang telah membeli senjata api tiruan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati mereka untuk melupuskan senjata api tiruan berkenaan jika tidak mahu dikenakan tindakan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2439838