KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Polis sedang memburu seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai membunuh rakan sekerjanya selepas berlaku pertengkaran di sebuah kedai besi buruk di Kampung Batu, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata pihaknya juga sedang merekodkan keterangan lima saksi terdiri daripada pemilik premis, rakan sekerja dan keluarga mangsa bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa maut akibat ditikam. Polis menemukan sebilah pisau di tempat kejadian, namun belum dapat dipastikan sama ada senjata itu digunakan dalam kes itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, polis menerima panggilan kecemasan daripada pemilik kedai besi buruk itu pada 11.33 malam semalam memaklumkan berlaku pergaduhan antara dua pekerjanya iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun dengan lelaki warga Myanmar ketika sedang mabuk di premis itu.
Pemeriksaan awal polis di tempat kejadian mendapati mangsa tidak berbaju dan memegang parang di tangan kiri dengan terdapat kesan kecederaan pada bahu kanan, kepala bahagian kiri, leher, dagu kiri serta kesan lubang di bahu.
-- BERNAMA