Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Isnin, dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata terdapat kebimbangan bahawa permintaan mungkin berkurangan dalam beberapa minggu akan datang.
“Sebahagian pembeli dijangka melambatkan pembelian bagi menunggu hala tuju harga yang lebih jelas, yang menyebabkan sentimen pasaran masih berhati-hati.
“Kami mendapati paras sokongan pada RM3,900 satu tan dan rintangan pada RM4,080 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa pula berkata kontrak niaga hadapan MSM didagangkan rendah sepanjang hari, dipengaruhi tekanan jualan yang berpunca daripada faktor makroekonomi yang lebih meluas.
“Ini termasuk harga minyak mentah yang rendah dan pengukuhan ringgit, yang telah mengimbangi kesan prestasi eksport yang kukuh,” katanya.
Pada penutupan dagangan, Julai susut RM28 kepada RM3,958 satu tan, Ogos 2025 turun RM26 kepada RM3,979 satu tan, dan September 2025 merosot RM25 kepada RM3,986 satu tan.
Oktober 2025 susut RM23 kepada RM3,988 satu tan, November 2025 turun RM22 kepada RM3,995 satu tan, manakala Disember 2025 menguncup RM22 kepada RM4,009 satu tan.
Jumlah dagangan merosot kepada 30,371 lot daripada 63,167 pada Khamis, manakala kepentingan terbuka turun kepada 220,799 kontrak daripada 224,560 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan turun RM20 kepada RM4,000 satu tan.
-- BERNAMA