Daripada Siti Radziah Hamzah
MOSCOW, 30 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mungkin menjadi tumpuan utama ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke Asia Tengah dan Rusia, namun di sebaliknya, sekumpulan kecil diplomat dan penjawat awam Malaysia yang tidak kelihatan di hadapan umum, bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi memastikan semua yang dirancang berlangsung seperti dijadualkan.
Bermula 21 hingga 28 Jun 2025, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengadakan lawatan kerja rasmi ke Uzbekistan dan Rusia. Apakah misinya? Ia bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, meneroka peluang kerjasama dalam tenaga bersih dan teknologi air serta meluaskan jaringan diplomatik dan perniagaan Malaysia.
Di Uzbekistan, Kedutaan Besar Malaysia di Tashkent telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan tenang namun penuh kesungguhan.
Tugas mereka? Mereka merancang dan menguruskan kelancaran lawatan rasmi ini yang menumpukan kepada aspek diplomasi minyak dan gas, meluaskan perhubungan udara serta rundingan dua hala berprofil tinggi -- di samping memastikan pergerakan delegasi timbalan perdana menteri di kawasan asing ini adalah tepat pada masanya sepertimana yang dijadualkan.
Anda tidak akan berpeluang menyaksikan mereka dalam foto rasmi, namun mereka sentiasa ada berdekatan -- pandangan yang sentiasa memerhati, telefon mudah alih yang sentiasa ‘bergetar’ atau berbunyi, berkoordinasi dengan pegawai protokol Uzbekistan, memeriksa aspek keselamatan, mengatasi halangan dari segi bahasa dan memastikan individu yang tepat berada di tempat yang betul pada masa yang tepat.
Ada dalam kalangan mereka yang telah beberapa hari tidak cukup tidur, tetapi mereka tidak merungut.
“Puan datang ke sini untuk bekerja, insya-Allah semuanya akan berjalan lancar,” kata seorang pegawai di Tashkent ketika saya bertanya pelbagai soalan sebagai persediaan untuk membuat liputan dalam lawatan kerja ini.
Tahap persiapan mereka melangkaui aspek logistik semata-mata. Setiap nama disebut dengan betul. Setiap bendera diletakkan pada tempatnya. Segala aspek berkaitan mesyuarat telah diselesaikan dengan rapi.
Inilah yang dinamakan diplomasi yang tidak kelihatan dengan nyata tetapi menjadi sokongan kepada tataurus negara -- sesuatu yang memerlukan ketepatan dan kebijaksanaan.
Ketika satu misi hampir berakhir di Tashkent, satu lagi misi bermula di Moscow. Hampir 3,000 kilometer jauhnya, Kedutaan Malaysia di Rusia telah giat membuat persediaan, melakukan perancangan, penyelarasan, dan menguruskan landskap diplomatik yang amat berbeza.
Di Moscow, kakitangan kedutaan telah bekerja keras sehingga lewat malam dalam menyusun atur program yang padat, termasuk pertemuan dua hala dan usaha memperkukuh hubungan ekonomi serta saintifik.
Walaupun dalam keadaan perubahan geopolitik yang berlarutan, Malaysia terus menjalinkan hubungan konstruktif dengan Rusia. Kedutaan memainkan peranan penting dalam usaha keseimbangan ini, terutama ketika kuasa-kuasa besar dunia sedang menyusun semula pakatan global mereka.
Sama ada merancang laluan perjalanan di sebuah bandar yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas, atau berurusan dengan kementerian Rusia, pasukan kedutaan ini bekerja dengan tenang namun bekerjasama, tangkas menyesuaikan diri, sentiasa merancang lebih jauh ke hadapan dan kekal tenang meskipun dalam situasi yang mencabar.
Sikap mesra dan layanan baik yang menjadi identiti rakyat Malaysia sentiasa diamalkan di negara asing -- bahkan sehingga ke lokasi yang masih dibayangi dengan sejarah Perang Dingin.
Kebanyakan rakyat Malaysia mungkin tidak tahu bahawa tugasan rasmi diplomat di bandar seperti Tashkent dan Moscow diklasifikasikan sebagai penempatan sukar -- lokasi dimana diplomat menghadapi pelbagai cabaran, daripada akses yang terhad terhadap keselesaan dan perkhidmatan harian kepada cuaca ekstrem, halangan bahasa, pengasingan budaya, malah sekatan pergerakan ketika berlakunya ketegangan politik.
Bagaimanapun, di sebalik segala kesukaran itu, semangat mereka tetap tidak goyah. Semangat bekerja kekal tinggi, didorong oleh tanggungjawab yang mendalam dan kebanggaan berkhidmat demi Malaysia di luar negara.
Daripada Tashkent sehingga ke Moscow, perkara yang paling mengagumkan bukan sekadar tahap profesionalisme mereka, malah dedikasi yang dipamerkan.
Mereka merupakan pegawai kerajaan yang jarang-jarang mendapat perhatian media. Mereka tidak menerima tepukan gemuruh, namun mereka inilah yang membina asas bagi hala tuju dasar luar Malaysia.
Dalam dunia yang seringkali menilai diplomasi melalui kenyataan media dan dokumen yang ditandatangani, para pegawai inilah yang menjadi tangan yang cekap bekerja di sebalik tabir, menjadikan lawatan rasmi itu sebagai libat urus yang bermakna.
Tugas atau peranan mereka menjadi lebih bermakna minggu lepas bersempena Hari Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 Jun 2025, yang mengiktiraf sumbangan penting penjawat awam di seluruh dunia pada setiap tahun.
Tatkala orang lain meraikan hari berkenaan dengan majlis dan anugerah, pegawai Malaysia yang berkhidmat di luar negara terus memikul tanggungjawab seperti yang lazimnya dilakukan: berada di lapangan, berdepan tekanan dan bekerja secara senyap di sebalik tabir bagi memastikan urusan diplomasi berjalan lancar.
Ketika Malaysia melakar kedudukan dalam dunia yang kompleks ini, mereka -- penjawat awam, yang selalunya berusia muda dan jarang kelihatan di hadapan umum -- menggalas imej negara di bahu mereka. Mereka melakukannya bukan untuk bermegah tetapi atas dasar tanggungjawab.
-- BERNAMA