Oleh Rohani Mohd Ibrahim
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Bagi Jabulisile Msibi, penempatan diplomatiknya selama hampir lima tahun di Malaysia bukan sekadar satu tugasan - sebaliknya menjadi sebuah perjalanan yang sarat dengan pertautan budaya, persahabatan yang berkekalan dan nilai bersama antara dua negara yang memiliki hubungan sejarah mendalam.
Msibi menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Kuasa Usaha Suruhanjaya Tinggi Afrika Selatan di Malaysia pada Isnin.
Beliau pertama kali tiba di Kuala Lumpur pada November 2020 ketika negara ini sedang berdepan pandemik COVID-19 serta pelaksanaan pelbagai perintah kawalan pergerakan (PKP).
Setibanya di sini, Msibi dilantik sebagai Setiausaha Pertama (Politik) sebelum memegang jawatan Kuasa Usaha pada awal tahun ini.
Mengenang empat tahun tujuh bulan di Malaysia, wanita berusia 47 tahun itu berkata negara ini “sentiasa seperti di tanah air sendiri.” Budaya yang serasi serta kehangatan masyarakat Melayu tempatan khususnya mengingatkannya kepada komuniti Melayu di Cape Town.
“Saya tidak pernah berasa keseorangan sepanjang bekerja di sini. Saya sukakan cuaca dan pantainya - saya pergi ke Langkawi sebanyak lima kali bersama keluarga, dan mereka amat menyukainya.
“Saya juga pernah melawat Ipoh sekali, dan mendapati bandar itu sangat tenang dengan penduduk yang mesra,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual beberapa jam sebelum berlepas dari Kuala Lumpur.
Makanan Malaysia juga dekat di hatinya.
“Kami juga ada rendang, sate dan cakoi - sejenis kuih - di Afrika Selatan. Malah pisang pun dipanggil ‘pisang’ di tempat kami,” katanya sambil ketawa.
Antara kenangan manis buat Msibi adalah saat beliau pertama kali mendengar balada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berjudul Bukan Cinta Biasa.
“Saya pertama kali mendengar lagu itu semasa persembahan langsung dalam satu acara, dan ia serta-merta membuatkan saya berasa tenang,” katanya.
“Saya merakamkannya ketika itu, kemudian bertanya kepada rakan-rakan Malaysia mengenai judulnya sebelum memuat turun di Spotify. Saya mendengarnya begitu kerap sehingga menghafal liriknya dan akhirnya dapat menyanyi dengan baik,” kata Msibi.
“Saya akan sentiasa mendengar dan menyanyikan Bukan Cinta Biasa setiap kali saya teringat kepada Malaysia,” tambahnya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan kembali ke Malaysia, Msibi menyatakan beliau dengan senang hati akan datang lagi sebagai pelawat - atau mungkin kembali bertugas di Malaysia pada masa hadapan dalam kapasiti berbeza.
Msibi berharap hubungan dua hala antara Afrika Selatan dan Malaysia akan terus diperkukuh dengan pertukaran peringkat tinggi yang lebih kerap serta kerjasama lebih erat di bawah kerangka Selatan-Selatan.
Beliau berkata pendirian kedua-dua negara dalam memperjuangkan hak dan penentuan nasib rakyat Palestin - khususnya selepas serangan Israel ke atas Gaza pada Oktober 2023 - telah mengukuhkan lagi hubungan jangka panjang tersebut.
Msibi berkata Malaysia sangat dihormati di Afrika Selatan atas sokongan berterusan sejak zaman perjuangan anti-apartheid sehingga negara itu mencapai kebebasan pada 1994.
“Selepas Afrika Selatan mencapai kemerdekaan, Malaysia telah melatih beberapa diplomat kami seawal 1995 ketika negara kami masih di peringkat awal pembentukan.
“Penyelia saya di Pretoria adalah antara mereka yang pernah dilatih. Apabila beliau mengetahui saya akan ditempatkan di Malaysia pada 2020, beliau amat gembira,” katanya.
-- BERNAMA