AM

Cadangan Kempen Antirasuah Peringkat Nasional Dibentang Hari Ini

17/06/2025 09:39 PM

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, membentangkan cadangan kempen antirasuah peringkat nasional.

Pengerusinya Datin Yasmin Ahmad Merican berkata kempen yang bakal diterajui SPRM itu memfokuskan kepada pembangunan program pencegahan rasuah yang mampan, melalui tadbir urus dan pendidikan yang lebih baik.

“SPRM berhasrat mewujudkan visi yang dikongsi bersama semua lapisan masyarakat dalam usaha meningkatkan nilai integriti dan moral demi generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yasmin berkata beberapa perkara dibincangkan dalam Mesyuarat PPPR Bil.2 Tahun 2025, termasuk pembentangan dapatan terkini Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI), serta isu berkaitan Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, selaku Ex-Officio PPPR SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman berkata pelaksanaan sesi libat urus bersama kerajaan negeri, dilihat penting untuk mendapatkan maklum balas dan input dalam mengatur strategi keberkesanan kempen antirasuah peringkat nasional tersebut.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2435207