JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Tahan Pengarah Jabatan Kewangan PBT Di Melaka

16/06/2025 11:17 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah sebuah jabatan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka selepas disyaki menyalahgunakan kuasanya menggunakan dana PBT berkenaan berjumlah RM50 juta untuk membuat pelaburan saham.

Sumber memaklumkan, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 1 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.

“Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2020 hingga 2023 dengan melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank sebagai ejen pelaburan bagi pelaburan saham berjumlah kira-kira RM50 juta.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan dana wang awam dan juga wang amanah itu tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka untuk permohonan reman, esok.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2434901