KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang meninggal dunia hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata mendiang telah banyak berjasa kepada negara sebagai Presiden MIC, Ahli Parlimen, serta melalui pelbagai jawatan dalam kerajaan sejak 1990.
"Sumbangan beliau dalam memperjuangkan masyarakat India, pembangunan luar bandar dan pemuliharaan alam sekitar amat dihargai.
"Semoga keluarga mendiang tabah menghadapi kehilangan ini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Palanivel.
Ahmad Zahid berkata negara bukan sekadar kehilangan seorang tokoh politik, tetapi juga sebutir permata yang telah menabur bakti dengan penuh dedikasi dalam pembangunan negara.
"Dalam diam dan tenang perwatakannya, tersimpan jiwa pemimpin yang banyak menabur bakti kepada rakyat dan tanah air. Buat keluarga besar MIC dan Barisan Nasional, kehilangan ini pastinya amat dirasai. Beliau bukan hanya pemimpin, tetapi juga sahabat, pembimbing dan figura penyatu.
"Segala jasa, pengorbanan dan khidmat beliau sepanjang bergelar Presiden MIC, Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet akan terus hidup dalam lipatan sejarah dan ingatan kita semua," katanya.
Palanivel, 76, yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi tadi.
-- BERNAMA