SHAH ALAM, 16 Jun (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjalin kerjasama strategik dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi merencana perancangan, pelaksanaan, dan penyelarasan projek pembangunan Shah Alam Sentral (SA Sentral).
Kerjasama itu dijalin menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh PKNS hari ini yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas, manakala MBSA diwakili oleh Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.
Mahmud berkata perjanjian untuk tempoh lima tahun itu mencerminkan iltizam berterusan kedua-dua pihak dalam merencana pembangunan secara lebih berstrategik dan mampan sejajar usaha meremajakan Shah Alam sebagai bandar teknologi tinggi dan hijau karbon.
"Kerjasama strategik antara PKNS dan MBSA ini titik tolak kepada transformasi Seksyen 13 dan Seksyen 14 di sini sebagai kawasan yang penuh dengan sejarah dengan diberikan nafas baharu supaya terus relevan dan dinamik dalam era pembangunan masa kini.
"Sebagai sebuah bandar yang terus berkembang pesat dari segi kepadatan penduduk dan pembangunan, secara tidak langsung menunjukkan keperluan terhadap infrastruktur moden, kemudahan awam yang efisien serta pembangunan perumahan yang mampan dan inklusif," katanya pada sidang media selepas upacara menandatangani MoU itu di sini hari ini.
Mahmud berkata pembangunan SA Sentral melibatkan kawasan seluas lebih 130 ekar yang dilaksana mengikut konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) meliputi kediaman moden, rekreasi, makanan dan minuman (F&B) dan kediaman warga emas itu dijangka siap sepenuhnya pada 2031.
Beliau berkata Kompleks PKNS Shah Alam akan dinaik taraf, manakala projek pembangunan Aneka Walk bersebelahan pusat beli-belah ikonik itu dijangka siap dan beroperasi pada suku keempat tahun ini sekali gus akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi negeri selain menyediakan ruang perniagaan yang selesa dan luas kepada usahawan tempatan.
"Lebih daripada sekadar pusat komersial, Aneka Walk direka bentuk sebagai hab gaya hidup moden yang menggabungkan elemen peruncitan, rekreasi, dan keusahawanan dalam satu persekitaran yang inklusif dan mesra komuniti.
“Selain itu, Plaza Peransang juga akan dibangunkan semula sebagai pusat hotel dan PKNS akan memeterai perjanjian bersama operator Grand Mecure tidak lama lagi,” katanya.
Dilancarkan pada September tahun lepas, projek SA Sentral bakal menjadikan Shah Alam sebagi pusat perniagaan yang mampu bersaing dengan Kuala Lumpur, menyaksikan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion.
Projek berimpak tinggi itu melibatkan komponen pembangunan Plaza Alam Sentral, Plaza Perangsang, SACC Mall, SACC Walk, Kompleks PKNS Shah Alam, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) serta beberapa kawasan di Seksyen 14.
-- BERNAMA