AM

Taiwan Pelawa Inovator Malaysia Bersama-sama Cipta Penyelesaian Kesihatan Global

12/06/2025 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Taiwan melancarkan inisiatif antarabangsa terbarunya, iaitu “Go Healthy with Taiwan”, mempelawa inovator dan institusi dari Malaysia menghantar cadangan projek kreatif yang menggabungkan teknologi kesihatan dari Taiwan dan penyelesaian gaya hidup mampan.

Penganjurannya oleh Taiwan International Trade Administration (TITA) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MOEA) dan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) itu bertujuan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam lima sektor utama berkaitan kesihatan.

Lima sektor utama itu ialah teknologi penjagaan kesihatan pintar, perubatan estetik dan pemeriksaan kesihatan, peralatan kecergasan, teknologi sukan, dan basikal.

Taiwan yang cukup sinonim sebagai “Bicycle Kingdom” serta hab global untuk inovasi kecergasan dan kesihatan berasaskan kecerdasan buatan (AI), berhasrat membangunkan dan menyesuaikan penyelesaian bersama melalui kerjasama dalam pasaran yang sedang pesat membangun seperti di Malaysia.

“Inisiatif berkenaan membuka peluang untuk kerjasama dua hala, terutamanya dengan pertumbuhan sektor kesihatan, kesejahteraan dan bandar pintar di Malaysia,” kata penganjur dalam satu kenyataan.

Tiga cadangan terbaik, masing-masing akan menerima USD30,000 (kira-kira RM127,000) dan berpeluang mengadakan kerjasama dengan syarikat dari Taiwan.

Tarikh akhir untuk menghantar cadangan adalah pada 14 Ogos dan penyertaan terpilih berpeluang memperoleh manfaat bantuan dari segi sokongan padanan perniagaan serta peluang akses kepada pasaran antarabangsa.

Kempen berkenaan dilancarkan secara rasmi pada 3 Jun di Taipei dan acara besbol bertemakan “Pitching Taiwan’s Best: A Home Run for Proposals!” yang menampilkan bintang besbol Taiwan An-Ko Lin dan maskot Taiwan Excellence, FuBear, turut diadakan.

Susulan kejayaan kempen “Go Green with Taiwan” pada tahun lepas yang menerima 396 syor dari 45 negara, penganjur pada tahun ini menyasarkan lebih 500 penyertaan dari lima benua, dengan menjangkakan penyertaan menggalakkan daripada komuniti inovasi Malaysia.

Untuk maklumat lanjut dan penghantaran cadangan, sila layari gohealthy.taiwanexcellence.org

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2433510