LUMUT, 15 Jun (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront melabuhkan tirai hari ini, dengan merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran bermula Jumaat lepas.
Program bertemakan “Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI” yang diterajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu berjaya melepasi sasaran awal 100,000 pengunjung.
KPT dalam kenyataan memaklumkan, penganjuran PMR 2025 Perak telah mencapai objektif iaitu merakyatkan program dan perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi, seiring dengan usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara yang inklusif, berdaya saing dan berimpak tinggi.
KPT memaklumkan antara pengisian utama ialah penyediaan lebih 230 perkhidmatan langsung kepada rakyat, penyertaan lapan usahawan jualan MADANI, 12 majikan dalam Karnival Kerjaya, 75 sesi libat urus pentas, 16 program satelit dan lapan agensi perkhidmatan bergerak.
"Selain itu, KPT mengadakan beberapa perkhidmatan dan penawaran kepada komuniti setempat termasuklah perkhidmatan selanggara asas motosikal percuma, penanaman anak pokok bakau, pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh Hospital Pengajar Universiti (HPU) dan program pembersihan kawasan pantai bersama pelajar antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Pelbagai aktiviti interaktif menarik diadakan bagi memeriahkan penganjuran PMR 2025 Perak antaranya Tapak Pameran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menawarkan khidmat membawa pengunjung menyusuri laut di Lumut dengan menaiki bot amfibia jenis Sealegs milik agensi itu.
Kelainan pada PMR edisi kali ini ialah penganjuran ‘Battle Taranum Live’ oleh pelajar Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selain semakan bacaan surah al-Fatihah di reruai JAKIM.
Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM) juga tidak ketinggalan dengan pertunjukan Kawad Senyap serta persembahan Pancaragam Pusat TLDM di Dataran Lumut Waterfront pada Sabtu dan Ahad yang mencuri perhatian pengunjung.
Selain itu, kaunter bayaran saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus menjadi tumpuan ramai dengan kutipan sebanyak RM31,450.
Sementara itu, seorang pengunjung Iskandar Dzulkornain Basiruddin, 36, dari Ayer Tawar, Manjung berkata PMR 2025 Perak adalah satu inisiatif kerajaan yang amat baik dalam mempromosikan perkhidmatan disediakan oleh agensi kerajaan kepada rakyat.
"Saya berpendapat program sebegini perlulah diteruskan dan kalau boleh diperbanyakkan ke seluruh negara sebab ada kemungkinan sebilangan penduduk setempat tidak menyedari insiatif ditawarkan kerajaan," kata penjawat awam itu.
Seorang pesara dari Ipoh V Kaleichilwan, 60, yang memuji penganjuran PMR 2025 Perak berkata platform ini dilihat berjaya mengumpulkan masyarakat untuk berinteraksi dengan pihak agensi kementerian bagi mendapatkan maklumat mengenai dasar kerajaan.
Perak merupakan lokasi kedua bagi penganjuran PMR berskala besar, hasil kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat induk dan KPT.
PMR 2025 dilaksanakan dalam dua skala iaitu besar dan kecil dengan edisi pertama berskala besar telah berlangsung di Majlis Perbandaran Tawau, Sabah dari 9 hingga 11 Mei lepas.
-- BERNAMA