KOTA TINGGI, 12 Jun (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terus mengorak langkah dalam memperkukuh agenda transformasi sektor perladangan negara.
Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata usaha itu antara lain menerusi pelaksanaan projek 25:23 yang menyasarkan peningkatan hasil kepada 25 tan bagi setiap satu hektar setahun dan kadar perahan minyak (OER) kepada 23 peratus, menjelang 2027.
Beliau berkata inisiatif itu juga memupuk kualiti, disiplin serta memperkukuh kerjasama antara Felda dengan FGV Holdings Berhad sebagai pengeluar benih yang baik dalam merealisasikan hasrat berkenaan.
"FGV ialah pengeluar benih yang baik dan sentiasa mempertingkatkan mutu benihnya supaya hasil akan (menjadi) lebih baik lagi, begitu juga tentang pengurusan ladang dibuat oleh Felda yang akhirnya pergi kepada kilang-kilang FGV … kilang yang efisien ini akan menghasilkan perahan (OER) yang baik," katanya.
Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Anugerah Projek 25:23 Terbaik 2024 di Dewan Semai Bakti Felda Lok Heng di sini. Turut hadir Pengerusi FGV Holdings Berhad Tan Sri Rastam Mohd Isa dan Pengarah Wilayah Felda Wilayah Johor Bahru Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab.
Beliau berkata majlis itu memberikan pengiktirafan kepada warga Felda dan pengurus ladang yang cemerlang dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti Buah Tandan Segar (BTS) selain menyaksikan penyampaian anugerah kepada individu dan kompleks ladang terbaik dalam pelaksanaan Projek 25:23 serta memperluas pelaksanaan ke 15 kompleks lain.
"Perkara ini merupakan bukti komitmen berterusan Felda dalam meningkatkan kecekapan operasi dan hasil ladang. Sebagai antara penyumbang utama dalam industri minyak dan lelemak global, Felda dan anak syarikat memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda kelestarian, daya saing dan pemerkasaan ekonomi bumiputera," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Felda turut memperluas Model Operasi PMS "Damar Berkat" dalam usaha menghapuskan ketirisan hasil peneroka, meningkatkan ketelusan urus niaga dan menjamin pendapatan lebih tinggi kepada para peneroka.
"PMS yang telah dijayakan sejak April lepas oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan diperluas … kita sudah memulakan projek rintisnya di Bukit Damar, Lanchang, Pahang. Dalam masa terdekat (kita akan ke) 11 lokasi lain dan akan kembangkan ke lebih 40 tempat … saya berharap ia akan menjadi pencetus perubahan dalam pengurusan buah sawit yang akan dihantar ke kilang-kilang," katanya.
Beliau berkata sebanyak enam lokasi PMS baharu telah dikenal pasti bagi pelaksanaan model berkenaan, iaitu di Ijok dan Nenering, Perak; Layang-Layang, Chemplak, Chemplak Barat dan Sri Ledang, Johor; serta Kampung New Zealand, Pahang.
"Pelaksanaan ini akan berpandukan sistem yang komprehensif merangkumi sistem belian, kawalan kualiti BTS, logistik penghantaran ke kilang serta penawaran harga yang lebih kompetitif," katanya.
-- BERNAMA