DUNIA

Indonesia, EU Lancar Meja EU Untuk Perkukuh Hubungan Pelaburan

16/06/2025 04:25 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 16 Jun (Bernama) -- Indonesia dan Kesatuan Eropah (EU) telah melancarkan Meja EU yang khusus bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala secara strategik, selain menempatkan Indonesia sebagai destinasi utama pelaburan Eropah di Asia Tenggara, menurut pegawai rasmi.

Berpusat di Kementerian Pelaburan dan Hiliran Indonesia, kemudahan itu akan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk pelabur EU, menawarkan maklumat pasaran, bimbingan pelesenan perniagaan, pemetaan peluang pelaburan, serta sokongan dalam penyeragaman peraturan.

“Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen kami untuk menyokong pencepatan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Indonesia-EU (I-EU CEPA) yang kami harap dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini,” kata Menteri Rosan Perkasa Roeslani dalam satu kenyataan.

Duta EU ke Indonesia Denis Chaibi pula berkata meja itu melambangkan aspirasi bersama untuk menggalakkan pelaburan berkualiti dan mampan untuk  disalurkan ke republik itu.

“Kami mahu meningkatkan pelaburan dalam bidang yang menjadi kekuatan Eropah seperti tenaga boleh baharu, pengurusan air, pemprosesan sisa dan teknologi maju,” katanya.

Menurut kementerian, pelaburan EU di Indonesia berjumlah US$13 bilion bagi tempoh antara 2019 hingga suku pertama 2025.

Sektor utama termasuk bahan kimia dan farmaseutikal (US$2.1 bilion), utiliti (US$1.9 bilion), serta pengangkutan dan komunikasi (US$1.07 bilion).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2434686