PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Pemilihan Malaysia sebagai Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2025-2029 merupakan satu pengiktirafan antarabangsa terhadap komitmen negara dalam menerajui agenda pembangunan bandar di peringkat global.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11: Bandar dan Komuniti yang Mampan.
“Ini juga merupakan kali pertama Malaysia memegang jawatan tertinggi dalam platform perbandaran paling berprestij di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan itu.
Hari ini, warga KPKT menyambut kepulangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dengan penuh rasa bangga susulan kejayaan Malaysia dipilih sebagai Presiden UN-Habitat dalam persidangan yang berlangsung di Nairobi, Kenya, baru-baru ini.
Menurut KPKT, sambutan ringkas itu mencerminkan solidariti dan semangat seluruh warga kementerian terhadap pencapaian penting tersebut yang meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam usaha membangunkan bandar yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.
Menerusi kenyataan sama, Nga berterima kasih kepada seluruh warga KPKT serta jabatan dan agensi di bawahnya yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh dasar dan inisiatif pembangunan bandar Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Ini bukan sahaja kejayaan KPKT, tetapi kejayaan seluruh rakyat Malaysia. Amanah ini akan kita galas bersama dengan penuh tanggungjawab demi masa depan bandar-bandar kita,” katanya.
KPKT memaklumkan bahawa kejayaan ini dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik antarabangsa, meningkatkan imej Malaysia sebagai peneraju dalam perancangan dan pembangunan bandar, serta memperkukuh suara negara dalam pelbagai perbincangan dasar di peringkat global.
-- BERNAMA