DUNIA

Presiden Korea Selatan, Trump Sepakat Bincang Semula Tarif Dalam Perbualan Telefon Pertama

07/06/2025 10:45 AM

SEOUL, 6 Jun (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersetuju untuk berusaha mencapai persetujuan bersama berhubung tarif AS dalam perbualan telefon pertama mereka sejak Lee mengangkat sumpah awal minggu ini.

Panggilan telefon selama 20 minit itu dibuat pada Khamis dan disifatkan oleh Pejabat Presiden Korea Selatan sebagai mesra dan membina, lapor agensi berita Yonhap. 

Trump mengucapkan tahniah kepada Lee atas kemenangan beliau dalam pilihan raya baru-baru ini. 

Sebagai balasan, Lee menegaskan bahawa pakatan Korea Selatan-AS kekal menjadi tunjang dasar luar Korea Selatan, kata jurucakap Presiden Kang Yu Jung dalam taklimat bertulis.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk segera mencapai persetujuan yang memuaskan kedua-dua pihak,” menurut pejabat itu, merujuk kepada rundingan mengenai tarif. 

Mereka juga bersetuju untuk menggalakkan hasil yang nyata menerusi perbincangan di peringkat kerja.

Panggilan itu dibuat hanya dua hari selepas Lee mengangkat sumpah, sekali gus menandakan kembalinya diplomasi tertinggi selepas bekas Presiden Yoon Suk Yeol disingkirkan pada April lalu. 

Lee dan Trump turut membincangkan pelbagai isu dua hala, termasuk tarikh akhir 8 Julai bagi menyelesaikan rundingan tarif. 

Pada April, pentadbiran Trump mengenakan tarif 25 peratus terhadap barangan Korea Selatan, tetapi memberi penangguhan tiga bulan bagi membolehkan rundingan dijalankan.

Pejabat Presiden Korea Selatan turut mengesahkan bahawa Trump menjemput Lee untuk melawat AS. 

Lee menyambut baik jemputan itu dan menyatakan harapan agar rundingan kerap dapat dijalankan antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengatur pertemuan bersemuka seawal mungkin, sama ada di luar sidang forum pelbagai hala atau melalui lawatan rasmi dua hala, bagi membincangkan usaha memperkukuh pakatan mereka.

Antara lokasi yang sedang dipertimbangkan termasuk Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada pada 15 hingga 17 Jun dan Sidang Kemuncak NATO di Belanda pada 24 hingga 25 Jun.

-- BERNAMA-YONHAP

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2431676