AM

Pemilihan Sebagai Presiden UN-Habitat Kelebihan Buat Malaysia Tonjol Kejayaan Negara

01/06/2025 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Pemilihan Malaysia sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) satu pengiktirafan dan plaftorm terbaik untuk menonjolkan lagi negara ini di peringkat global. 

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mazlan Che Soh berkata gelaran itu memberi platform strategik dan berprestij kepada Malaysia untuk menonjolkan kejayaan dan model pembangunan mampan di pentas antarabangsa sekali gus menjadi contoh kepada negara lain.

Beliau berkata selaku Presiden UN-Habitat, Malaysia boleh mempengaruhi hala tuju dasar global dalam bidang perbandaran, perumahan mampu milik, pengurusan bencana, dan perubahan iklim.

“Peranan sebagai Presiden UN-Habitat juga akan meningkatkan kerjasama dua hala dan pelbagai hala dengan agensi PBB, negara anggota serta badan bukan kerajaan untuk pelaksanaan projek-projek kemampanan,” katanya kepada Bernama.

Mazlan berkata sebagai Presiden UN-Habitat bagi penggal 2025 hingga 2029, membolehkan Malaysia menjadi suara utama negara membangun dalam isu-isu perbandaran mampan, keadilan sosial, dan pembangunan inklusif.

Selain itu, beliau berkata Malaysia boleh menggerakkan kerjasama serantau bagi membentuk bandar berdaya tahan, inklusif, dan pintar serta menubuhkan pusat kecemerlangan serantau.

Beliau berkata dari segi pencapaian Malaysia dalam bidang kemampanan, negara ini telah menunjukkan komitmen kukuh dalam agenda kemampanan, termasuk memperkenalkan dasar-dasar nasional antaranya menerusi pembangunan Dasar Perbandaran Negara Kedua.

“Dasar itu menekankan pendekatan inklusif, hijau, berdaya tahan, dan teknologi pintar serta Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang menekankan pertumbuhan ekonomi inklusif, pembangunan wilayah seimbang, serta pemeliharaan alam sekitar," katanya.

“Turut dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ialah usaha menyepadukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam pelan pembangunan negara. 

Selain itu, Mazlan berkata pelbagai dasar turut digubal selari dengan prinsip kemampanan global, termasuk Dasar Alam Sekitar Negara dan Dasar Perubahan Iklim Negara.

Pada Jumaat, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memaklumkan bahawa Malaysia mencatat sejarah apabila dipilih secara rasmi sebagai Presiden UN-Habitat bagi penggal 2025 hingga 2029.

Pada Pemilihan Pegawai Biro dalam Persidangan UN-Habitat di Nairobi, Kenya, Malaysia menerima sokongan sebulat suara daripada kesemua 193 negara anggota.

Berpangkalan di Nairobi, Kenya, Persidangan UN-Habitat diwujudkan pada 1975 dan diangkat menjadi program penuh pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2001.

Badan pembuat keputusan global tertinggi mengenai pembandaran lestari dan penempatan manusia itu bersidang setiap empat tahun, serta memainkan peranan penting dalam membentuk dasar global untuk bandar dan komuniti.

Sebagai presiden, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Eksekutif UN-Habitat serta rakan kongsi global untuk mengukuhkan kerjasama pelbagai hala, mempromosikan bandar inklusif, berdaya tahan iklim dan mampan di seluruh dunia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429745