Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 31 Mei (Bernama) -- Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menjemput pihak-pihak yang berkonflik di Myanmar mengadakan dialog di Kuala Lumpur bagi mencari penyelesaian berkekalan terhadap krisis yang sedang melanda negara itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jemputan itu telah dipanjangkan kepada pihak-pihak yang berkaitan bulan lepas.
“Saya telah memulakannya… dan saya menyeru rakan-rakan saya agar menghantar pasukan masing-masing, para pegawai dan anggota tentera daripada bahagian risikan untuk meneruskan penglibatan mereka,” katanya semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan Perutusan Khas pada Dialog Shangri-La di sini.
Ditanya mengenai kemungkinan pilihan raya umum diadakan di Myanmar, Anwar berkata keutamaan ketika ini ialah memastikan keamanan, keselamatan dan penyampaian bantuan kemanusiaan di negara itu.
Beliau berkata para pemimpin ASEAN terus mendesak agar gencatan senjata di negara itu dilanjutkan manakala semua pekerja yang terlibat dengan penyaluran bantuan kemanusiaan dilindungi.
“Jika pilihan raya yang diadakan adalah adil dan lebih inklusif serta tidak meminggirkan mana-mana parti maka sudah tentu kita bersedia menerima keputusannya meskipun (prosesnya) mungkin tidak sempurna,” katanya.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Majlis Pentadbiran Negara Myanmar (SAC) pada Mac lepas mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan pilihan raya umum sama ada pada bulan Disember tahun ini atau selewat-lewatnya Januari 2026.
-- BERNAMA