KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal mengadakan konsert eksklusif di Dewan Filharmonik Petronas di sini pada 12 Julai depan sebagai penghargaan kepada dua legenda muzik Amerika Syarikat, Frank Sinatra dan Judy Garland.
Bertemakan Where Every Beat Tells A Story, konsert itu menjanjikan malam penuh magis dengan pilihan lagu-lagu klasik malar segar yang mencorakkan era keemasan Hollywood.
“Konsert ini akan menyaksikan gabungan unik antara pop klasik dan sentuhan simfoni oleh MPO, memberi dimensi baharu yang kaya kepada pengalaman muzik, sambil mengekalkan semangat dan pesona zaman kegemilangan Hollywood,” demikian menurut kenyataan MPO.
Lagu-lagu yang bakal dipersembahkan termasuklah karya ikonik Sinatra seperti Luck Be A Lady, Three Coins in a Fountain dan I Could Write a Book, serta lagu-lagu kegemaran Garland seperti Somewhere Over the Rainbow, The Man That Got Away dan I Got Rhythm.
pic-2
Konsert ini bakal dipimpin oleh konduktor tersohor Richard Balcombe, dengan susunan orkestra yang diinspirasikan oleh gaya pop klasik untuk menghidupkan semula keindahan muzik Amerika pertengahan abad ke-20.
MPO turut akan disertai oleh dua vokalis ternama dari Britain, iaitu Graham Bickley dan Katie Birtill yang sebelum ini memukau penonton tempatan menerusi konsert penghargaan MPO kepada Bee Gees pada tahun lalu.
Tiket dijual pada harga bermula RM229 hingga RM499, dengan pilihan suite eksklusif turut ditawarkan. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi MPO: www.mpo.com.my.
-- BERNAMA